SAN'A (Yaman): Yaman mengerahkan ratusan askar tambahan ke dua wilayah pergunungan di kawasan timur negara itu, yang dipercayai menjadi kubu kumpulan Al-Qaeda dan tempat yang pernah dikunjungi suspek rancangan pengeboman sebuah pesawat Amerika Syarikat yang gagal pada Hari Krismas lalu, kata para pegawai keselamatan semalam.
Kerahan tambahan yang bertujuan mengukuhkan kekuatan tentera di wilayah terpencil yang kurang dikuasai pemerintah Yaman itu adalah langkah terbaru pihak berkuasa negara tersebut untuk meningkatkan kempennya memerangi Al-Qaeda.
Amerika merancang menambah lebih seganda bantuannya ke kawasan miskin dan berpecah-belah di Yaman itu tahun ini bagi membantu memerangi pengganasan.
Jeneral David Petraeus, ketua tentera Amerika yang menyelia perang di Iraq dan Afghanistan, selain mengumumkan rancangan Amerika untuk menambah bantuannya di sana, tiba di Yaman kelmarin dan bertemu dengan Presiden Ali Abdullah Saleh, kata seorang pegawai pemerintah Yaman.
Pegawai itu mendedahkan perkara tersebut dengan syarat namanya tidak dinyatakan kerana beliau tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada pihak media.
Pertarungan dengan cawangan AlQaeda di Yaman menjadi satu isu kecemasan selepas kegagalan satu rancangan mengebom pesawat Northwest Airlines yang dalam penerbangannya ke Detroit, Amerika, pada Hari Krismas lalu.
Presiden Barack Obama semalam berkata cawangan Al-Qaeda di Yaman bertanggungjawab ke atas percubaan itu.
Seorang pemuda warga Nigeria berusia 23 tahun yang disyaki melakukan serangan itu, Umar Farouk Abdulmutallab, memberitahu para penyiasat Amerika bahawa dia telah menerima latihan dan arahan daripada para pengendali Al-Qaeda di Yaman.
Para penyiasat Amerika dan Yaman sedang cuba menjejaki pergerakan Abdulmutallab di Yaman, tempat yang telah dikunjunginya antara Ogos dengan 7 Disember lalu.
Abdulmutallab ke sana atas alasan mahu belajar bahasa Arab di San'a, tetapi dia sering menghilangkan dirinya.
Para pegawai keselamatan Yaman berkata Abdulmutallab mungkin berkunjung ke wilayah Marif atau Jouf - kawasan pergunungan yang terpencil di bahagian timur ibu kota Yaman itu, yang dikatakan merupakan kubu Al-Qaeda - walaupun mereka belum pasti di mana dia menemui para anggota kumpulan pengganas tersebut.
Menteri Penerangan Yaman, Encik Hassan al-Louzi, berkata pergerakan Abdulmutallab masih 'di bawah siasatan'.
'Mereka masih menyiasat di mana dia pergi, (dan) siapa dia temui,' tambahnya. -- AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment