Pages

Friday, January 1, 2010

Suka duka sepanjang dekad

Dunia sukan ternyata tidak terhindar daripada pelbagai kemungkinan

LONDON (England): Di tengah-tengah kejayaan cemerlang dan diselaputi skandal yang tercetus dalam dekad pertama milenium baru, Usain Bolt mengingatkan kepada dunia mengapa sukan masih mampu menawan dan disanjung orang ramai.

Sorakan seperti tidak percaya menyambut atlit tinggi lampai Jamaica di Stadium Sarang Burung Beijing pada Ogos 2008, apabila beliau memecahkan rekod dunia 100 meter dan menjadi orang pertama berlari di bawah 9.7 saat.

Kejayaan tersebut seakan memperkecil rekod lalu, bukan kerana masa yang dicatatnya, tetapi gaya yang dipamerkan oleh Bolt ketika berlari dan sebaik menang perlumbaan pecut tersebut.

Bolt seakan mempersenda pencapaian masa terpantas yang lalu dan kegigihan yang dipapar oleh para pesaingnya yang seakan tidak berdaya mengejarnya.

Beliau masih sempat memperlahan lariannya untuk menoleh ke kiri dan ke kanan, sebelum melangkah melepasi garisan penamat.

Bolt sekali lagi mencatat rekod dunia dalam acara 200 meter, mengatasi masa yang diukir Michael Johnson pada 1996, dengan para statistik meramalkan rekod Johnson mampu kekal selama 25 tahun.

Pelari Jamaica itu menambah namanya dalam rekod dunia apabila membantu negaranya memenangi acara lari berganti-ganti 4x100 meter.

Pada tahun lalu, tanpa perlu mengetengahkan dirinya, Bolt mencatat masa di bawah 9.6 saat bagi acara 100 meter dan memecahkan rekod 200 meter di Kejohanan Atletik Dunia di Berlin, Jerman.

Sedang Bolt bergaya di balapan, Michael Phelps pula berpesta di kolam renang dan Yelena Isinbayeva memperagakan kehandalannya di udara.

Mereka membuktikan bahawa atletik - ibu segala sukan di Olimpik itu - mampu menjadi acara yang paling memuaskan.

Phelps memenangi rekod lapan pingat emas dengan tujuh rekod dunia dalam masa sembilan hari di Beijing, sementara Isinbayeva pula meningkatkan lagi ketinggian palang lompat bergalah wanita dengan rekod 5.05 meter - rekod ke-24 beliau.

Bolt tidak pernah gagal mahupun tertinggal daripada ujian dadah dan langkahnya yang lebih pantas berbanding para pencabarnya dikatakan berpunca daripada genetik yang dimilikinya.

Namun Bolt bersama rakan-rakan seangkatannya harus berdepan rasa curiga kerana sukan dalam kurun ke-21 ini menawarkan hadiah wang yang terlalu lumayan dan ini membuat setiap pihak berkerja keras untuk mengecap kejayaan.

Kejayaan luar biasa Bolt di akhir dekad itu seakan mengikis sedikit suasana yang hampir dicemari pada awal musim 2000.

Pada 2000, Marion Jones disebut sebagai atlit yang perlu menjadi tumpuan selepas beliau mengumumkan akan mencatat kejayaan lebih baik daripada Jesse Owens dan Carl Lewis dan memenangi lima pingat emas acara balapan dan padang Olimpik.

Jones, yang mendapat tempat di muka depan majalah Times, Newsweek dan Vouge ketika menerima tajaan kontrak bernilai jutaan dolar, akhirnya menghabiskan masa Sukan Olimpik Beijing dalam penjara selepas mengaku menggunakan dadah secara bersistem sebelum ke Sukan Olimpik Sydney.

Jones didedah kerana terlibat dengan skandal Balco, dengan pihak penyiasat mendapati beliau merupakan pelanggan makmal yang dibangun untuk menghasilkan dadah perangsang bagi mengabui para pegawai yang mengendalikan ujian dadah.

Pemain besbol San Francisco Giants, Barry Bonds, turut berdepan dengan dakwaan menipu kepada para hakim mengenai penggunaan dadah perangsang selepas mencatat 762 larian, juga adalah salah seorang pelanggan Balco.

Skandal dadah telah pun memusnahkan imej Lumba Basikal Jelajah Perancis, yang awal daripada ini turut mengikis kepercayaan ke atas sukan atletik dan angkat berat.

Kapten pasukan kriket Afrika Selatan, Hansie Cronje, bersama dua lagi kapten antarabangsa, telah digantung seumur hidup kerana terlibat dengan kesalahan menetapkan keputusan perlawanan pada 2000.

Pada tahun lalu pula, pasukan Renault dalam Formula Satu turut mengakui Nelson Piquet Junior secara sengaja merempuh kereta ke penghalang litar bagi membantu rakannya, Fernando Alonso, memenangi Grand Prix Singapura 2008.

Walaupun terpaksa bekerja keras, kegiatan sukan bukan setakat masih mampu diteruskan malah semakin mewah dalam dunia yang dilanda masalah kegawatan ekonomi sebaik selesai Sukan Olimpik Beijing 2008.

Sukan juga dikatakan mampu melepasi lingkungan pasaran tradisi, seperti yang dapat disaksikan menerusi Kejohanan Golf Jelajah Eropah 2009 yang bermula di Shanghai dan berakhir di Dubai.

Jelajah Perancis 2007 kini dimulakan di London, selepas dua tahun Lance Armstrong memenangi mahkota kejuaraan tersebut dengan rekod tujuh kali.

Grand Prix Formula Satu yang dikuasai oleh juara dunia tujuh kali, Michael Schumacher pada awal dekad, turut membuktikan bagaimana Singapura memukau ramai dengan perlumbaan pertama di waktu malam pada 2008.

Schumacher juga mendapati tawaran yang disajikan di litar perlumbaan begitu sukar untuk ditolak dan akhirnya mengumumkan akan kembali bertanding bersama Mercedes pada akhir tahun lalu.

Pada September 2009, majalah Forbes yang mengumumkan Tiger Woods, yang berjaya mengambil alih tempat Michael Jordan sebagai atlit terkenal, menjadi atlit pertama bergelar billionaire.

Bagaimanapun, impian Woods yang menjadi sasaran setiap penaja dan ingin mengatasi kejayaan Jack Nicklaus menjuarai 18 mahkota kejohanan berprestij disentap oleh pengakuannya berkelakuan curang ke atas isterinya.

Yang jelas, sukan juga tidak terhindar daripada segala kemungkinan.

Kes skandal Woods turut membuktikan sehebat mana seorang ahli sukan, mereka juga sama seperti manusia lain - ada kelemahannya. -- Reuters.


No comments:

Posting Terkini