Pages

Friday, January 1, 2010

Palsukan kematian untuk tuntut insurans

SEOUL: Polis Korea Selatan semalam berkata mereka telah menahan seorang lelaki yang memalsukan kematiannya sendiri - dan upacara pembakaran 'mayatnya' - semata-mata kerana mahukan bayaran insurans berjumlah 1.8 bilion won ($2.2 juta).

Polis berkata lelaki berkenaan, yang mempunyai nama keluarga 'Chung', 51 tahun, dan isterinya, Ahn, 49 tahun, sengaja membuat rancangan itu selepas perniagaan mereka di Indonesia menghadapi masalah.

Isteri lelaki berkenaan membuat tuntutan bayaran insurans hayat kepada enam syarikat Korea Selatan selepas suaminya 'mati' dalam satu nahas motosikal di pulau Batam, Indonesia.

Akhbar The Korea Times berkata pasangan itu memberi rasuah kepada para doktor Indonesia untuk membekalkan satu sijil kematian dan menyerahkannya kepada kedutaan Korea Selatan di Jakarta.

Ahn juga membuat rakaman video satu 'upacara membakar mayat' Chung untuk menyokong tuntutannya itu.

Seorang pegawai polis wanita di daerah Namdaemun, di Seoul, berkata mereka turut mengeluarkan satu waran tangkapan bagi anak saudara lelaki pasangan tersebut kerana bersubahat dalam rancangan menipu itu.

'Terdapat beberapa penipuan insurans yang memalsukan kematian di Korea tetapi ini kali pertama berhubung kes berkenaan di luar negara,' kata beliau kepada agensi berita AFP.

Kes-kes penipuan sering berlaku di Korea Selatan, dengan jumlah kes-kes tipu semakin meningkat di tengah-tengah kelembapan ekonomi di negara itu.

Dalam satu kes lain yang dilaporkan oleh polis pada April lalu, seorang wanita Korea Selatan mengadakan satu upacara pengebumian selepas mendakwa suaminya itu hilang di laut.

Wanita itu cuba menipu dalam usahanya mendapat tuntutan insurans sebanyak AS$800,000 ($1.1 juta) daripada polisi insurans suaminya itu sebelum lelaki itu ditemui masih hidup dan dalam keadaan sihat. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini