JOHOR BARU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus memantau beberapa blog dan laman web yang menyentuh perkara-perkara sensitif di negara ini.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, bukti kini sedang dikumpul dan apabila mencukupi akan digunakan untuk mengheret mereka yang menyentuh sensitiviti seperti institusi Raja-raja Melayu, perkauman dan agama ke muka pengadilan.
"Tindakan kita kebelakangan ini menunjukkan keseriusan kita untuk membawa sesiapa saja asal cukup bukti ke mahkamah," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno Johor yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di sini hari ini.
Menyifatkan kes seperti blogger Aduka Taruna yang menghina Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail sebagai kes rintis, Hishammudin berkata KDN, SKMM dan pihak berkuasa yang berkaitan akan mengenal pasti mereka yang terlibat dihadapkan ke mahkamah dan dihukum.
Tanpa memberikan butiran lanjut, Hishammuddin berkata, beliau telah dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun ada beberapa blogger dan website yang kini dipantau kerana menyentuh perkara-perkara sensitif.
Ditanya mengenai laporan beberapa blog mengenai terdapatnya desakan agar Ketua Pergerakan Umno, Khairy Jamaluddin meletak jawatan, Hishammuddin berkata, laporan-laporan itu adalah tidak tepat.
Hishammuddin berkata, penulis-penulis blog terbabit tidak tahu hujung pangkal perbincangan mesyuarat Exco Pemuda yang diadakan baru-baru ini.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno, tidak menolak laporan itu mungkin dibuat kerana kepentingan tertentu, namun katanya desakan seumpamanya tidak akan membawa kepada pengukuhan parti.
Beberapa blog baru-baru ini melaporkan bahawa Khairy didesak meletak jawatan oleh beberapa Exco Pemuda kerana kegagalan beliau menterjemahkan hala tuju Pergerakan Pemuda UMNO selari dengan kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak. - BERNAMA
Sunday, January 31, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment