Pages

Saturday, November 21, 2009

Web bahasa Inggeris sebar mesej Al-Qaeda

Terjemah tulisan, ucapan militan bagi masyarakat Islam di Barat

RIYADH: Semakin banyak laman web berbahasa Inggeris menyebarkan mesej kumpulan Al-Qaeda kepada masyarakat Islam di Barat.

Laman-laman itu menterjemahkan tulisan dan ucapan yang pada satu ketika tidak dapat dimengerti pembaca Inggeris dan sering memapar tokoh agama berkarisma, seperti Anwar Al-Awlaki, yang saling berkirim e-mel dengan pakar psikiatri yang didakwa terlibat dalam kejadian menembak di pangkalan tentera Fort Hood di Texas, Amerika Syarikat, Mejar Nidal Malik Hasan

Al-Awlaki, yang dilahirkan di Amerika, menjadi inspirasi kepada beberapa militan yang ditangkap di negara itu dan Canada sejak beberapa tahun lalu, dengan ceramah-ceramahnya disiar di laman web.

'Hakikatnya ialah anda tidak perlu secara rasmi menjadi sebahagian daripada Al-Qaeda untuk menyebarkan kebencian dan pandangan kesukuan,' kata Encik Evan Kohlmann, seorang penyiasat kanan Yayasan NEFA, yang berpangkalan di New York dan membuat kajian tentang militan Islam.

'Jika anda lihat dokumen-dokumen paling berpengaruh dalam kes-kes pengganasan dalam negeri, ia bukannya manual membuat bom. Dokumen-dokumen paling berpengaruh ialah yang ditulis oleh para penasihat agama, sesetengah mereka bukan anggota rasmi Al-Qaeda,' tambahnya.

Kebanyakan laman pelampau Islam itu tidak dikendali atau diarah oleh Al-Qaeda, tetapi mereka menyediakan satu wadah yang kukuh untuk mendapatkan pesimpati bagi perjuangan 'jihad' terhadap Amerika, kata pakar-pakar yang mengesan kegiatan tersebut.

Jumlah laman web bahasa Inggeris yang bersimpati terhadap perjuangan Al-Qaeda kini bertambah daripada kira-kira 30 sekitar tujuh tahun lalu kepada lebih 200 baru-baru ini, kata Encik Abdulmanam Almushawah, ketua program kendalian kerajaan Arab Saudi yang bertujuan memerangi laman web militan Islam, Assakeena.

Sebaliknya, laman web pelampau bahasa Arab telah berkurangan kepada 50, berbanding 1,000 sekitar tujuh tahun lalu. Ini hasil usaha pemerintah seluruh dunia menutupnya, kata beliau.

Al-Qaeda telah lama cuba memancing pengikut dari Barat. Rakaman mesej Osama bin Laden dan timbalannya, Ayman Al-Zawahri, biasanya mempunyai sarikata bahasa Inggeris.

Kini, terjemahan tulisan dan ceramah yang membentuk asas ideologi Al-Qaeda, serta para penceramah seperti Al-Awlaki, sudah dapat mengatasi halangan bahasa. -- AP.

No comments:

Posting Terkini