Oleh Syed Jaymal Zahiid
KUALA LUMPUR, Nov 17 - Kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS tiada hak untuk menuntut bayaran royalti hasil petroleum, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan, Nazri menjelaskan, bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein tidak secara khusus menggunakan istilah “royalti” semasa membahaskan Rang Undang-undang Pembangunan Petroleum 1974, yang membuka laluan kepada penubuhan Petronas dan perjanjian perkongsian lima peratus hasil dengan negeri-negeri mengeluarkan minyak.
Awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan pemberian wang ihsan petroleum daripada kerajaan persekutuan.
Pemimpin-pemimpin Pakatan khususnya PAS bagaimanapun masih mempertahankan hak Kelantan untuk mendapatkan royalti daripada hasil petroleum, bukannya wang ihsan.
Terengganu juga pernah diberikan wang ihsan selepas ia ditawan PAS pada pilihan raya umum 1999.
“Perjanjian ini dibuat sebagai satu janji agar pentadbiran masa-masa akan datang menghormatinya.
“Ia cuma satu janji bukan satu hak dan anaknya, Datuk Seri Najib menghormati janji ini dengan membuat bayaran wang ihsan kepada Kelantan,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.
Kenyataan yang dibuat oleh Razak dicatatkan dalam hansard Parlimen dan digunakan oleh pembangkang sebagai bukti agar kerajaan persekutuan mengiktiraf hak Kelantan untuk mendapatkan royalti.
Selain akta itu, perjanjian antara Pengerusi Petronas ketika itu, Tun Salleh Abbas dan pengasasnya, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa negeri-negeri menghasilkan minyak harus diberikan royalti juga digunakan pembangkang untuk menegakkan hujah mereka.
Harakah Daily pula melaporkan, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub mencabar Nazri agar berdebat mengenai isu royalti yang kini ditukar menjadi wang ehsan oleh kerajaan Barisan Nasional.
Salahuddin, Ahli Parlimen Kubang Kerian ketika mencelah ucapan penggulungan Nazri di Dewan Rakyat petang tadi mengulangi cabarannya terhadap Nazri kerana berpendapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu banyak menyelewengkan fakta berhubung royalti minyak termasuk dalam isu perjanjian yang pernah dimeterai Petronas dengan Kelantan suatu ketika lalu.
“Saya berdiri di sini mewakili rakyat Kelantan mencabar Yang Berhormat mewakili Perdana Menteri berani atau tidak kita berdebat di luar dewan, di Kota Bharu, atau di Kuala Lumpur untuk kita beritahu rakyat rakyat apa sebenarnya yang berlaku di sebalik pembohongan ini,” katanya.
Membalas cabaran itu, Nazri berkata beliau bersedia untuk berdebat bila-bila masa dan di mana sahaja termasuk di markas PAS Taman Melewar.
“Saya tidak ada halangan sebenarnya, malah kalau nak buat perbahasan di Markas PAS di Greenwood pun saya akan pergi... tidak ada masalah,” katanya.
Sidang Dewan Rakyat menjadi kecoh, seolah-olah ‘medan perang’ apabila wakil rakyat Pakatan Rakyat tidak berpuas hati dengan percanggahan fakta yang dinyatakan oleh Nazri.
Turut membahaskan isu tersebut ialah Saifuddin Nasution (PKR-Machang), Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timor), Yusmadi Yusuf (PKR-Balik Pulau) dan Dr Dzulkefly Amad (PAS Kuala Selangor).
Dzulkefly menyifatkan Nazri menyelewengkan beberapa interpretasi Perlembagaan mengikut pendapatnya, malah menafikan apa yang telah dipersetujui bersama oleh pemimpin Petronas dan kerajaan sebelum ini.
“Mengapa kita membelakangkan Tengku Razaleigh Hamzah, Tun Salleh Abbas yang sebelum ini memahami asas kepada perjanjian ini. Semangat undang-undang mesti adil... hari ini dalam kes royalti mengapa Sabah Sarawak diberikan hak, tetapi Kelantan dan Terengganu di mana keadilannya,” katanya.
Nazri sebaliknya cuba mengalihkan perhatian wakil rakyat yang lain dengan menyentuh isu-isu dalaman PAS dan tidak menjawab isu sebenar yang dipersoalkan wakil Shah Alam, Khalid Samad berhubung kedudukan Kelantan sebagai negeri yang sepatutnya berhak dalam royalti minyak.
Lim juga mendakwa penjelasan Nazri itu menunjukkan beliau “menyelewengkan fakta” dan ia bertentangan dengan semangat menggubal peraturan berkaitan hasil minyak.
“Jika anda mahu berfikir bahawa ini adalah penyelewengan fakta, terpulang kepada anda. Akta Pembangunan Petroleum tidak menyebutkan soal bayaran royalti,” Nazri menjawab kenyataan Lim.
Tuesday, November 17, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment