BAITULMAKDIS: Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, kelmarin mengumumkan beliau tidak akan bertanding semula tahun depan.
Beliau menyebut kurangnya sokongan Amerika Syarikat terhadap syarat beliau bagi menyambung rundingan damai dengan Israel sebagai alasan.
Dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen dari pejabatnya di Ramallah, Encik Abbas, 74 tahun, berkata:
'Saya telah beritahu saudara saya dalam Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) bahawa saya tidak berhasrat bertanding dalam pilihan raya akan datang.'
Encik Abbas mengaitkan keputusan itu dengan kebuntuan di dalam rundingan damai.
Beliau kecewa dengan kegagalan Amerika menghentikan peluasan petempatan Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur.
Beliau juga tidak senang dengan kenyataan Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, yang memuji cadangan Israel hendak menghadkan pembinaan petempatan dan bukan membekukannya.
Rundingan damai tajaan Amerika terbantut Disember lalu. Encik Abbas enggan menyambung rundingan kecuali Israel akur membekukan petempatan Yahudi.
Namun, susunan kata dalam ucapan Encik Abbas menimbulkan spekulasi ia bukan keputusan muktamad.
Ia mungkin cuma satu taktik bagi mendesak Israel dan Amerika agar lebih bertolak ansur selain daripada bertujuan mendapatkan sokongan meluas rakyat Palestin kepadanya.
Encik Abbas hanya berkata beliau 'tidak mahu bertanding dalam pilihan raya' yang dijadualkan Januari tahun depan.
Beliau juga belum mempersiap seorang bakal pengganti. Oleh kerana belum ada kepastian sama ada pilihan raya akan berlangsung, Encik Abbas dijangka mengekalkan jawatan itu buat beberapa waktu.
Sebaliknya, keputusan itu boleh meningkatkan prospek seorang calon popular yang dilaporkan mahu bertanding merebut jawatan presiden PLO dari bilik kurungan di penjara Israel.
Beliau ialah Encik Marwan Barghouti, 49 tahun, seorang bekas pegawai Fatah yang dipenjarakan seumur hidup oleh Israel pada 2002.
Kumpulan Fatah bimbang keputusan Encik Abbas itu akan memberi peluang kepada Hamas mencapai kemenangan.
Keputusan beliau mendorong Presiden Israel, Encik Shimon Peres, dan Presiden Mesir, Encik Hosni Mubarak, menelefonnya untuk memberi nasihat agar beliau tidak mengundurkan diri.
Israel sebenarnya lebih suka seorang presiden Palestin yang berfahaman sederhana seperti Encik Abbas.
Setiausaha Agung Liga Arab, Encik Amr Mussa, turut menggesa Encik Abbas agar menimbang semula keputusan beliau, lapor agensi berita Mena. -- Agensi.
No comments:
Post a Comment