PUTRAJAYA: Kesabaran seorang ustaz terhadap sikap anak muridnya yang dipendam sejak enam bulan lalu tiba pada kemuncaknya Rabu lalu apabila pelajar tingkatan lima itu mendakwa ditumbuk beberapa kali oleh guru berkenaan sehingga menyebabkan keningnya terkoyak dan berdarah.
Sebelum kejadian itu, pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Farouk itu mendakwa dipanggil ustaz berkenaan, yang juga guru disiplin sekolah, sebaik selesai perhimpunan pagi.
Bagaimanapun, ustaz itu didakwa hanya mendiamkan diri menyebabkan dia berjalan terus ke bilik darjah bersama rakan lain.
Namun ustaz tersebut yang memegang sebilah gunting mengikut mangsa ke kelasnya sebelum 'mengamuk' dengan menendang beberapa kerusi dan meja serta menarik bahu dan menumbuk Farouk kira-kira 7.45 pagi Rabu lalu.
Kejadian hampir lima minit yang disaksikan rakanrakan sekelasnya itu mengejutkan mangsa yang tidak dapat berbuat apa-apa sebelum cuba menyelamatkan diri dengan berlari ke pejabat pengetua.
Pelajar Sekolah Menengah Teknik Cheras itu mendakwa dia terkejut dengan tindakan melulu guru agama itu yang memukul tanpa sebab sebaik selesai perhimpunan pagi.
Menurutnya, dia kembali ke kelas bersama rakan apabila ustaz terbabit hanya berdiam diri selepas memanggil namanya pada perhimpunan pagi itu.
'Ustaz kemudian memasuki kelas melalui pintu belakang dan menendang beberapa kerusi selain mengarahkan rakan kelas lain beredar ke tepi sebelum menarik bahu dan menumbuk saya bertubi-tubi sehingga kening kiri berdarah.
'Saya terkejut dan tidak dapat mempertahankan diri kerana kejadian berlaku terlalu pantas dan hanya menyedari kening tercedera apabila darah meleleh di pipi sebelum cuba berlari menyelamatkan diri,' katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Makmur, Sungai Merab, dekat sini, kelmarin.
Difahamkan, sebelum ini beberapa rakan mangsa turut mendakwa dipukul ustaz terbabit, tetapi kejadian itu tidak pernah dilaporkan kepada ibu bapa atau pihak sekolah kerana tiada bukti kukuh. -- Harian Metro.
No comments:
Post a Comment