
MOGADISHU (Somalia): Kumpulan militan Al-Shabaab kelmarin melancarkan serangan mortar ke atas pesawat presiden Somalia, Sheikh Sharif Ahmed, sewaktu beliau berlepas dari lapangan terbang Mogadishu untuk menghadiri satu sidang puncak di Uganda.
Serangan itu mencetuskan pertempuran dengan askar pengaman Kesatuan Afrika (AU) dari Uganda dan Burundi, yang melepaskan 35 bedilan roket ke kawasan pasar Bakara di Mogadishu menyebabkan 30 orang awam terkorban.
Presiden Sharif tidak cedera dan pesawatnya dapat berlepas dengan selamat, kata polis.
Beliau pergi ke Uganda untuk menghadiri satu sidang puncak AU mengenai pelarian, kata pegawai polis, Kolonel Ali Abdullahi.
Namun kematian orang awam itu mencetuskan kemarahan yang semakin meningkat terhadap askar pengaman AU yang ditempatkan di Mogadishu bagi melindungi pemerintah Somalia yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Seorang pemimpin pemberontak Al-Shabaab memberi amaran akan menyerang ibu kota Burundi dan Uganda sebagai tindak balas terhadap serangan roket yang mengorbankan 30 orang di Mogadishu.
'Askar dari Uganda dan Burundi musuh kami. Mereka sering membunuh rakyat negara ini. Kami tidak akan biarkan mereka tanpa dihukum,' kata Sheikh Ali Mohamed Hussein, panglima kanan Al-Shabaab, kepada pemberita di Mogadishu lewat kelmarin.
'Kami akan membuat rakyat mereka menangis. Kami akan serang Bujumbura dan Kampala. Kami akan pindahkan pertempuran ke dua bandar itu dan musnahkan mereka,' katanya.
Sheikh Ali menuduh askar Uganda dan Burundi melepaskan tembakan membabi buta ke kawasan penduduk awam setiap kali mereka membalas serangan Al-Shabaab.
Namun Mejar Barigye Ba-hoku, jurucakap pasukan Misi AU di Somalia (Amisom) yang mempunyai 2,500 askar di Mogadishu, semalam menafikan yang askar AU melepaskan sebarang bedilan meriam dan mempersalahkan pemberontak di atas kematian orang awam.
'Kami tidak membedil sebarang tempat. Kami sedang menyiasat dan pemerintah Somalia juga sedang menyiasat,' kata Mejar Ba-hoku kepada Reuters.
'Al-Shabaab mahu menyeret kami ke dalam peperangan. Mereka membedil kami dan membedil Bakara, kemudian memberitahu penduduk di sana bahawa Amisom yang membunuh orang awam. Kami tahu taktik mereka,' tegasnya.
Namun, beliau memandang serius ancaman militan Al-Shabaab itu.
'Sebarang percubaan menyerang Burundi atau Uganda akan ditangkis dengan tindakan jitu dan mereka akan dikalahkan,' tegasnya.
'Jika kami mendapat cukup askar di sini, kami boleh bergerak ke wilayah lain dan membawa keamanan ke seluruh Somalia,' tambahnya. -- AP, AFP, Reuters.
No comments:
Post a Comment