LONDON: Seorang lelaki Turkey, Encik Sultan Kosen, semalam diisytihar sebagai lelaki tertinggi di dunia baru - dengan ketinggian 2.47 meter.
Encik Kosen, 26 tahun, mengambil alih gelaran itu daripada lelaki warga China, Encik Bao Xishun, yang setinggi 2.36 meter, menurut Guinness World Records.
Beliau, yang berasal dari bandar Mardin di timur Turkey, juga dilaporkan mempunyai tangan dan kaki terbesar di dunia, masing-masing sebesar 27.5 sentimeter dan 36.5 sentimeter.
Encik Kosen diisytihar sebagai lelaki tertinggi di dunia selepas pesaing beliau dari Ukraine, Encik Leonid Stadnyk, 39 tahun, digugurkan daripada pertandingan kerana enggan membenarkan tubuhnya diukur.
Walaupun Encik Stadnyk, yang dilaporkan mempunyai ketinggian 2.57 meter, pernah memegang rekod tersebut, gelaran itu ditarik balik selepas beliau enggan membenarkan para pegawai mengesahkan ketinggiannya, kata Guinness.
Encik Stadnyk memberitahu agensi berita The Associated Press bahawa beliau enggan diukur kerana sudah bosan menjadi perhatian orang ramai.
Encik Kosen pula berkata beliau berharap status selebriti yang diraihnya itu akan membolehkan beliau 'menjelajah dunia dan memiliki kereta yang dapat menampung saiz tubuh saya'.
'Tetapi impian saya ialah mencari seorang kekasih - mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak,' kata Encik Kosen selepas beliau dipertonton kepada orang ramai sempena pelancaran buku Guinness World Records 2010 di London kelmarin.
Apa yang menyedihkan ialah Encik Kosen dilaporkan tidak dapat menyudahkan persekolahan kerana ketinggian beliau.
Dari masa ke masa beliau bekerja sebagai petani untuk menyara keluarganya. -- AP, AFP, Bloomberg.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment