SOLO: Pengganas paling dikehendaki di Asia Tenggara, Noordin Mohammad Top, disahkan antara empat pengganas yang terbunuh dalam serbuan polis di sebuah rumah di kampung Mojosongo, Jawa Tengah, awal pagi semalam.
Kejayaan membunuh ketua kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) itu dilihat sebagai satu kemenangan besar dalam perjuangan Indonesia menentang kumpulan militan dan mengurangkan kemungkinan berlakunya serangan nekad baru.
Kematian Noordin, 41 tahun, disahkan oleh ketua polis nasional, Encik Bambang Hendarso Danuri, dalam satu sidang akhbar semalam.
Menurut beliau, polis berani mengesahkan bahawa lelaki itu ialah Noordin berdasarkan cap jari dan 14 lagi tanda dan ciri-ciri yang dikenali di badan lelaki itu.
'Alhamdulillah, dengan kebesaran Allah dan berkat di akhir bulan Ramadan ini, dia adalah Noordin Mohammad Top,' katanya.
Tiga lagi anggota militan turut berjaya ditahan dalam serbuan semalam.
'Ini jelasnya satu kejayaan besar bagi pihak polis... akan memberi tamparan hebat kepada rangkaian pengganas, bukan saja di Indonesia malah di rantau ini,' kata pengamat pengganasan, Cik Sydney Jones.
Noordin, yang merupakan warga Malaysia, sebelum ini dilaporkan telah terbunuh dalam satu serbuan selama 17 jam di Temanggung, Jawa Tengah, bulan lalu.
Namun, suspek yang terbunuh itu sebenarnya seorang penjual bunga yang bekerja di Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta dan terlibat dalam rancangan menyerang dua hotel itu 17 Julai lalu.
Insiden tembak menembak di kampung Mojosongo bermula dari 10.30 malam kelmarin dan berakhir pada 6 pagi semalam.
'Saya lari ketakutan ke luar rumah apabila mendengar bunyi tembakan,' kata seorang penduduk kampung, Encik Widjan.
Jurucakap polis negara, Encik Nanan Sukarna, berkata antara suspek yang terbunuh termasuk Bagus Budi Pranato, yang turut dikenali sebagai Urwah.
Anggota militan yang berjaya ditahan semalam dikenal pasti sebagai Bejo dan Supono.
Seorang wanita yang sedang hamil enam bulan yang dikenal pasti sebagai Putri Munaroh, turut ditahan.
Dia adalah isteri salah seorang pengganas, Adit Susilo, yang turut disahkan terkorban semalam.
Seorang pegawai polis pula cedera apabila ditembak di tangan.
Noordin dipercayai memainkan peranan utama dalam serangan kembar hotel mewah di Jakarta Julai lalu.
Dia juga disyaki merancang serangan bom ke atas Hotel JW Marriott di Jakarta pada 2003, ke atas kedutaan Australia di Jakarta pada 2004, dan serangan bom Bali pada 2005.
Noordin telah beberapa kali berjaya meloloskan diri daripada serbuan polis.
Pada Oktobr 2003, Noordin dan pembuat bom warga Malaysia, Azhari Husin, terlepas daripada serbuan polis di Bandung.
Azhari bagaimanapun kemudian terbunuh dalam serangan polis pada November 2005.
Noordin lolos lagi apabila polis menyerbu beberapa rumah di Jawa Tengah pada Oktober dan November 2005.
Sebelum ini, pihak berkuasa menawarkan ganjaran 1 bilion rupiah ($145,500) kepada sesiapa yang mempunyai maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan Noordin. -- AFP, AP, Reuters, Bernama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment