GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, menasihatkan Umno supaya mengambil iktibar daripada keputusan pilihan raya kecil Permatang Pasir, dalam memilih calon yang sesuai bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.
Dalam pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir, isu pembatalan lesen guaman calon Barisan Nasional (BN), Encik Rohaizat Othman, berhubung kes pecah amanah membabitkan wang anak guamnya, telah dijadikan modal oleh Parti Islam SeMalaysia (PAS).
Dalam pilihan raya kecil pada 25 Ogos lalu itu, calon PAS, Encik Mohd Salleh Man, mendapat 9,618 undi menewaskan Encik Rohaizat dengan majoriti 4,551 undi.
Tengku Razaleigh berkata pembangkang telah memenangi tujuh pilihan raya kecil di Semenanjung Malaysia selepas pilihan raya umum tahun lalu.
'Umno bertanding dalam enam pilihan raya kecil dan kalah semuanya. Kini tidak siapa yang boleh meragui bahawa rasa tidak puas hati rakyat terhadap BN yang mengakibatkannya ia kehilangan lima negeri dan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, masih belum pulih,' tulis Tengku Razaleigh dalam blognya yang ditukil laman berita Malaysiakini.
Menurutnya, punca rasa tidak puas hati rakyat terhadap BN itu adalah persepsi bahawa mereka yang memegang kuasa adalah angkuh dan korup.
Malah, pemilihan calon yang dibatalkan lesen guamannya sebagai calon BN di Permatang Pasir serta mengenepikan bantahan terhadap pemilihannya telah mengesahkan persepsi tersebut.
Katanya, jika Umno terus memilih calon-calon yang tercemar rekodnya, maka rakyat mungkin akan membuat kesimpulan bahawa lebih baik bagi negara jika Umno kalah.
Pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang akan diadakan pada 11 Oktober dan penamaan calon pada 3 Oktober ini.
Ia diadakan berikutan kematian Allahyarham Azman Mohammad Noor dari BN pada 4 September lalu akibat jangkitan dalam darah.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment