KUNDUZ (Afghanistan): Seorang wanita di Afghanistan melahirkan seorang bayi lelaki yang mempunyai kembar tidak berkepalamelekat di dadanya, menurut seorang doktor di hospital besar Kunduz, utara Afghanistan, kelmarin.
Bayi lelaki itu dilahirkan Khamis lalu, dengan kembar berbadan, bertangan dan berkaki tetapi tidak berkepala melekat di dadanya, kata beliau.
'Buat beberapa hari pertama kembar bayi tersebut masih hidup dan bergerak-gerak. Tetapi sekarang ia sudah mati,' kata Dr Homayoun Khamoosh dari hospital besar Kunduz kepada AFP.
'Ini kali pertama kami melihat kes serupa ini di wilayah Kunduz,' tambah beliau.
Dr Khamoosh berkata satu pembedahan bagi memisahkan bayi kembar itu diperlukan bagi menyelamatkan nyawa bayi yang sempurna tubuh badannya.
'Para doktor memutuskan untuk menjalankan pembedahan bagi memisahkan kedua-dua kembar itu sebelum kembar tidak berkepala itu reput,' kata Dr Khamoosh.
Ibu bayi kembar itu, yang berusia 35 tahun, menyorok wajahnya daripada kamera jurugambar di sisi katil bayinya dan enggan memberitahu nama beliau.
Afghanistan merupakan salah sebuah negara yang paling tinggi kadar kematian ibu dan anak semasa bersalin.
Ini kerana kurangnya rawatan kesihatan bagi ibu-ibu yang mengandung di negara yang sentiasa dilanda peperangan itu. -- AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment