BANGKOK: Kabinet Thailand semalam akur untuk menggunakan undang-undang keselamatan khas, yang membenarkan pengerahan askar bagi menghadapi tunjuk perasaan oleh penyokong mantan perdana menteri Thai, Encik Thaksin Shinawatra, hujung minggu ini.
Tunjuk perasaan yang bakal diadakan kumpulan 'Baju Merah' Sabtu ini, sempena ulang tahun ketiga rampasan kuasa yang menggulingkan Encik Thaksin, bertujuan menggesa Perdana Menteri Thai, Encik Abhisit Vejjajiva, meletak jawatan dan diadakan pilihan raya baru di negara itu.
Jurucakap kerajaan, Encik Panitan Wattanayagorn, berkata Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) itu akan berkuatkuasa dari Jumaat ini hingga Selasa depan di ibu kota Bangkok kerana tunjuk perasaan dijangka mencetus kekacauan.
'Undang-undang ini akan memastikan keselamatan penunjuk perasaan dan membenarkan kami mengawal keadaan,' kata Encik Panitan.
'Polis akan menjadi pasukan utama dibantu oleh pasukan tentera,' tambah beliau.
Menerusi ISA, pihak berkuasa boleh mengeluarkan perintah berkurung dan menyekat pergerakan penduduk jika ia membahayakan keselamatan negara.
'Kami ingin memastikan kami mempunyai cara menghuraikan perkara itu secepat mungkin,' kata seorang lagi jurucakap kerajaan, Encik Supachai Jaisamuth.
Menurut beliau, Kabinet telah meluluskan penggunaan ISA di daerah sekitar pejabat Perdana Menteri, Encik Abhisit, selama lima hari mulai Jumaat ini.
Kumpulan 'Baju Merah' bercadang mengadakan rapat Sabtu ini dekat Royal Plaza, sebelum berarak ke rumah presiden Majlis Privi, Jeneral Prem Tinsulanonda, yang dituduh penunjuk perasaan mendalangi rampasan kuasa yang mengguling kan Encik Thaksin pada 19 September 2006.
'Pemimpin kami digulingkan dengan kekerasan. Tiga tahun sudah berlalu. Kami mahu mereka tahu apa yang dikehendaki rakyat,' tegas seorang pemimpin tunjuk perasaan, Encik Jatuporn Phromphan.
Sementara itu, panglima tentera laut Thai, Laksamana Kamthorn Phumhiran, semalam menafikan adanya kemungkinan berlakunya satu lagi rampasan kuasa di negara itu.
'Masalah politik negara ini sedang dihuraikan menerusi cara-cara demokrasi,' demikian beliau ditukil laman berita Bangkok Post.
Mengenai tunjuk perasaan yang bakal diadakan kumpulan Baju Merah pada 19 September ini, Laksmana Kamthorn berkata para penunjuk perasaan tidak sepatutnya mencabul hak asasi orang lain.
Pihak tentera, menurut beliau, akan memantau keadaan dan bersedia membantu polis mengawal ketenteraman awam. -- AP, AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment