JAKARTA: Anak-anak mantan Presiden Suharto dilaporkan akan kembali semula berpolitik selepas lebih sedekad walaupun mereka dikritik kerana menyalahgunakan kuasa.
Anak lelaki Suharto, Hutomo Mandala Putra, atau lebih popular sebagai Tommy, dan anak perempuan bekas presiden itu, Siti Hardiyanti Rukmana atau Tutut, sudah memberi isyarat kepada pesaing untuk mengetuai Parti Golkar yang pernah memerintah Indonesia.
Tommy, yang juga berikrar menjadi Presiden Indonesia, dibebaskan dari penjara pada 2006 selepas menghabiskan empat tahun daripada tempoh 15 tahun hukuman kerana mengarahkan pembunuhan seorang hakim Mahkamah Agung yang mensabitkan beliau dengan kesalahan rasuah.
Berusia 47 tahun, beliau terkenal dengan sifat 'playboy' kerana sering mendampingi selebriti muda, masih berhadapan dengan kes rasuah daripada era pemerintahan Suharto selama 32 tahun.
Beliau menyatakan pencalonan untuk mengetuai Parti Golkar pada Khamis lalu.
Tommy, yang masih ada kepentingan dalam perniagaan di Indonesia, menjanjikan pendidikan dan kesihatan percuma.
'Bagi perniagaan saya, ada golongan profesional yang menjaga dan saya hanya akan memantau.
'Perniagaan juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Indonesia,' kata beliau.
Tutut, 60 tahun, bekas menteri dalam Kabinet Suharto yang memiliki perniagaan daripada tol hingga televisyen, juga cuba mengetuai Golkar selaras dengan sikap rendah hati yang ditunjukkan sejak kejatuhan bapanya pada 1998.
Walaupun dua adik-beradik itu dilihat mempunyai wang yang cukup membiayai kempen mereka menjelang mesyuarat agung Golkar Oktober ini, pemantau politik berkata mereka berhadapan dengan satu masalah besar, iaitu ramai rakyat Indonesia tidak sukakan mereka.
Suharto, yang meninggal dunia pada usia 86 tahun, diingati kebanyakan rakyat Indonesia sebagai seorang pemimpin yang kuat memantau pertumbuhan dan kestabilan, walaupun didakwa melanggar hak asasi kemanusiaan dan mencuri berbilion dolar.
Seorang pegawai eksekutif Golkar, Encik Indra Piliang, berkata:
'Rakyat tahu Suharto jatuh kerana anak-anaknya.' - AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment