Pages

Tuesday, September 22, 2009

Calon Bersih Politik Wang, Rasuah Penting Untuk Bagan Pinang

SEREMBAN, 22 Sept- Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Umno harus pilih calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah untuk pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Beliau yakin Umno boleh mendapat majoriti kuat pada pilihan raya kecil itu kerana kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut merupakan kubu kuat parti berkenaan.

Faktor calon yang bersih daripada gejala politik wang dan rasuah menjadi sangat penting di Bagan Pinang malah pada pilihan raya umum akan datang, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis hari raya Aidilfitri di kediaman Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan di Rantau pada Selasa.

"Bagi saya, bukan sekadar tempat ini sahaja. Soal seluruh Malaysia, orang nak tahu samada kita serius atau pun tidak untuk membasmi gejala politik wang, rasuah dan sebagainya," tambahnya.

Jika Umno mengetengahkan calon yang tidak bersih, beliau berkata parti itu mungkin menang di Bagan Pinang tetapi akan kalah di tempat lain.

Dr Mahathir turut khuatir jika ini diteruskan, parti itu akan kalah teruk pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Saya tak fikir tentang individu, saya kenal semua orang dan saya tak peduli dengan siapa pun tapi saya fikir cuma untuk parti sahaja," tegasnya.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 3 Okt sementara pengundian 11 Okt.

Pilihan raya kecil DUN itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada Barisan Nasional (BN) Azman Mohamad Noor akibat jangkitan kuman dalam darah di Hospital Pakar Seremban pada 4 Sept lepas.

Pas telah mengumumkan akan bertanding pada pilihan raya ini.

--BERNAMA


No comments:

Posting Terkini