Pages

Thursday, September 17, 2009

48 belia bunuh diri

Singapura - SERAMAI 48 warga muda di bawah usia 21 tahun membunuh diri sepanjang tiga tahun lalu.

Perangkaan itu didedahkan Menteri Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan, Dr Vivian Balakrishnan, dalam jawapan bertulisnya kepada Cik Cynthia Phua (GRC Aljunied) yang meminta perangkaan tersebut.

Dr Balakrishnan berkata 14 warga muda itu membunuh diri tahun lalu, 19 orang pada 2007 dan 15 tahun tahun sebelumnya.

Cik Phua juga ingin tahu punca utama golongan muda membunuh diri dan rancangan Pemerintah untuk menanganinya.

'Setiap kes adalah unik. Kita tidak harus membuat tanggapan mudah tentang puncanya. Ia merangkumi pelbagai faktor, termasuk murung, terdesak, emosi yang tidak mantap, risau atau gagal menangani tekanan - semuanya boleh memainkan peranan,' ujar Dr Balakrishnan.

Beliau menambah bahawa pengajaran utama yang boleh dipelajari daripada tragedi sedemikian ialah seseorang mempunyai daya tahan dan mendapat sokongan keluarga dan rakan-rakan akan lebih berupaya menangani pelbagai cabaran hidup.

Pengesanan awal dan nasihat profesional juga amat penting.

Menurut Dr Balakrishnan, pemerintah telah mengambil pendekatan pelbagai strategi dan 'banyak tangan membantu' untuk menghalang pembunuhan diri.

Bagi membangunkan daya tahan yang lebih baik di kalangan golongan muda, sekolah-sekolah menyediakan pelbagai peluang bagi pelajar memiliki kemahiran sosial-emosi bagi membolehkan mereka menghadapi cabaran hidup.

Kementerian Pendidikan (MOE) juga mempunyai program Mind Your Mind bagi pelajar sekolah rendah dan menengah.

Dilancarkan oleh Lembaga Penggalak Kesihatan (HPB) dan MOE, program itu merangkumi pelbagai topik seperti tekanan dan pengurusan kemarahan, membangunkan keyakinan diri positif dan mengenal pasti kemurungan.

Pemerintah juga bekerjasama dengan rakan-rakan masyarakat untuk mengurangkan kecenderungan mahu membunuh diri.

Beliau juga menegaskan peranan penting keluarga, guru dan kaunselor dalam mengenal pasti dan menyokong pelajar yang dalam kemurungan.

Salah satu pendekatan lain yang kini diambil pemerintah ialah meningkatkan kesedaran awam tentang isu-isu kesihatan mental.

Minggu Mencegah Membunuh Diri oleh Samaritans of Singapore (SOS), misalnya, membantu meningkatkan kesedaran awam tentang kecenderungan mahu membunuh diri dan pelbagai bantuan yang boleh diperolehi.

No comments:

Posting Terkini