Singapura - TIGA warga Singapura yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terlibat dalam rangkaian pengganas Jemaah Islamiyah (JI) dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) telah dibebaskan.
Satu kenyataan akhbar Kementerian Dalam Negeri (MHA) semalam berkata Mohammad Sharif Rahmat telah dibebaskan dan kini diletakkan di bawah perintah sekatan (RO) setelah tempoh perintah tahanan (OD) tamat pada 5 Ogos lalu.
Seorang lagi anggota JI, Simon Sabtu, dan anggota MILF, Husin Abdul Aziz, dibebaskan dengan perintah penggantungan (SD) kelmarin.
Sharif, yang ditahan pada Ogos 2005 menyusuli penglibatannya dalam JI, pernah melibatkan diri dengan latihan fizikal JI.
Dia juga pernah mengikuti latihan ketenteraan dengan sebuah kumpulan militan di Pakistan, Laskare-Tayyiba (LeT), sebagai persiapan bagi suatu konflik bersenjata.
Simon dan Husin ditahan pada Ogos 2002.
Simon, seorang anggota mapan JI, pernah melaksanakan latihan separa tentera untuk anggota JI dan melakukan aktiviti pengintipan bagi memudahkan JI melakukan serangan pengganas ke atas Singapura.
Husin pula pernah secara aktif memberikan sokongan kewangan dan logistik kepada MILF dan telah menerima latihan ketenteraan bersama MILF di Mindanao.
MHA berkata sejak ditahan, ketiga-tiga tahanan itu telah bekerjasama dengan pihak penyiasat dan telah menunjukkan perkembangaan positif yang ketara dalam menjalani pemulihan semula.
Dengan demikian, mereka kini dinilai sebagai tidak lagi menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara, ujar MHA.
Thursday, September 17, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment