Pages

Saturday, August 29, 2009

Suspek rompakan mandi darah dek ilmu kebal tidak 'menjadi'

AMPANG: Dua beradik, yang didakwa mengamalkan ilmu kebal Siam dengan bertatu di seluruh badan sebagai pendinding ketika melakukan rompakan, tidaklah segagah disangka apabila akhirnya bermandi darah selepas dibelasah orang ramai yang mengepung mereka awal pagi kelmarin.

Kedua-dua penjenayah yang kerap melakukan samun dan rompakan bersenjata itu ditumpaskan selepas dikejar lima kereta peronda polis dan enam kereta orang awam.

Kejadian cemas hampir 30 minit itu berakhir apabila dua beradik yang dipercayai berada di bawah pengaruh dadah itu dikepung kenderaan polis.

Seorang saksi, Encik Sulaiman Darus, 34 tahun, berkata beliau melihat polis dan orang ramai mengepung sebuah kereta dinaiki dua lelaki.

Menurutnya, penjenayah bagaimanapun enggan menyerah diri, sebaliknya bertindak ganas melanggar kereta orang awam di hadapan dan belakangnya.

'Beberapa anggota polis mengacu pistol ke arah penjenayah itu dan mengarahkan mereka agar menyerah diri.

'Tetapi amaran itu langsung tidak diendahkan penjenayah yang masih cuba menghidupkan enjin. Akibatnya, polis terpaksa memecahkan cermin kereta apabila mendapati mereka semakin agresif,' katanya.

Anggota polis yang cuba menarik suspek keluar dari kereta menghadapi kesukaran apabila penjenayah terus melawan selain turut dilihat membawa parang panjang.

'Seorang pekerja trak tunda menyembur cecair pemedih mata ke arah penjenayah berkenaan yang masih enggan menyerah diri,' tambah Encik Sulaiman.

Menurutnya, anggota polis yang cuba memberkas suspek menghadapi kesukaran apabila tangan dan tubuh penjenayah terbabit licin, dipercayai disapu minyak.

'Akibatnya puluhan orang ramai yang geram dengan keduadua penjenayah itu memukul mereka sebelum digari polis.

'Penjenayah yang berlumuran darah itu dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan sebelum dihantar ke Balai Polis Pandan Indah,' kata Encik Sulaiman.

Sementara itu, beberapa anggota polis yang melakukan siasatan terhadap kereta milik suspek menemui dua parang panjang, tukul besi, nombor kenderaan palsu dan pelbagai barang rompakan dalam but kenderaan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Penolong Pesuruhjaya Abdul Jalil Hassan, ketika dihubungi mengesahkan penangkapan kedua-dua suspek lelaki, yang dikehendaki polis berhubung puluhan kes pecah rumah dan rompakan bersenjata parang di daerah berkenaan. -- Harian Metro.

No comments:

Posting Terkini