Pages

Saturday, August 29, 2009

Indonesia mahu daftar semua pulau jelang 2012

JAKARTA: Indonesia akan mendaftar bilangan sebenar semua pulaunya dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjelang 2012 bagi pengiktirafan antarabangsa, lengkap dengan nama setiap pulau, lapor Jakarta Globe semalam.

Kami perlu mewujudkan satu rekod pulau-pulau milik kami. Ini adalah satu usaha bagi menyelamatkan Indonesia bagi masa depan,' kata Menteri Ehwal Kelautan dan Perikanan, Encik Freddy Numberi.

Menurut beliau, pulau-pulau di perbatasan akan diberi keutamaan kerana kedudukan yang terpencil dan peranannya dalam menentukan sempadan Indonesia.

Pada masa ini, perangkaan rasmi menetapkan terdapat 17,480 pulau, tetapi menurut Encik Numberi bilangan itu ditetapkan berdasarkan anggaran dan gambar satelit.

Encik Numberi menarik perhatian bahawa ada kemungkinan jumlah pulau di Indonesia lebih rendah daripada yang disangkakan, dengan kaedah yang lebih tepat yang digunakan sekarang.

Banyak daripada pulau yang didaftar sebelum ini ternyata cuma batu tongkol besar atau beting pasir yang ditumbuhi pokok bakau.

Banyak ciri geografi serupa itu telah hilang disebabkan kenaikan aras laut atau pelupusan sekitaran.

'Hanya baru-baru ini kami mendapati pulau-pulau itu sebenarnya tidak memenuhi takrif pulau,' jelas beliau.

'Bakau dan terumbu cincin bukan pulau, malah ada pulau yang kini sudah tenggelam.

'Jadi, kami tahu mungkin jumlah pulau di Indonesia lebih rendah daripada yang dianggarkan sebelum ini,' katanya. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini