Pages

Thursday, August 27, 2009

Sekilas Dunia

Kes tikam Muslim jadi tuduhan bunuh

DRESDEN (Jerman): Peguam pendakwa Jerman telah memfailkan tuduhan membunuh terhadap seorang lelaki yang menikam hingga mati seorang wanita Mesir yang hamil, satu pembunuhan yang telah menyebabkan kegemparan dalam dunia Islam.

Dalam kejadian pada 1 Julai lalu, tertuduh, Alex W, 39 tahun, menikam mangsa dan juga suaminya kerana 'membenci bangsa bukan Eropah dan orang Islam'.

Marwa al-Sherbini, seorang ahli farmasi berusia 31 tahun, sepatutnya memberi keterangan terhadap tertuduh yang didakwa mengeluarkan kata-kata hina berbaur perkauman terhadap mangsa. -- AP.

Chris Brown diletak di bawah probesen lima tahun

LOS ANGELES: Penyanyi Chris Brown diletakkan di bawah probesen selama lima tahun dan dikehendaki melakukan kerja-kerja kemasyarakatan selama 180 hari kerana bersalah memukul teman wanitanya, penyanyi Rihanna.

Selain itu, Brown perlu melengkapkan program kaunseling keganasan rumah tangga sebagai sebahagian daripada hukumannya.

Beliau telah menyerang Rihanna sehingga lebam-lebam pada 8 Februari lalu semasa mereka berdua bertengkar di dalam sebuah kereta Lamborghini yang disewa. -- Reuters.

Inul terus bergelek tapi tidak keterlaluan

JAKARTA: Ratu dangdut Indonesia, Inul Daratista, akan terus 'bergelek' pada Ramadan ini tetapi tidak secara keterlaluan.

'Ya, saya rasa biasa saja jika seseorang itu menyanyi sambil bergoyang-goyang sedikit. Apa yang penting, ia tidak dilakukan secara keterlaluan,' katanya.

Inul berkata, walaupun beliau memberi lebih banyak tumpuan kepada urusan menjaga anak pada Ramadan kali ini, penyanyi itu masih berkesempatan menghibur peminatnya dengan gelek gerudi. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini