Polis Indon buru guru yang rekrut militan
JAKARTA: Polis Indonesia sedang memburu Saifuddin Jaelani, seorang guru agama yang dipercayai merekrut dua pengebom nekad Hotel JW Marriott dan Hotel Ritz-Carlton pada 17 Julai lalu.
Dia dikatakan merekrut Dani Dwi Permana dan Nana Ihwan Maulana, kata Ketua Polis Kebangsaan, Bambang Hendarso Danuri. -- Agensi.
Yettaw jalani ujian kesihatan di Bangkok
BANGKOK: Lelaki warga Amerika yang dibebaskan Myanmar selepas dikenakan tujuh tahun penjara penjara kerana menceroboh rumah pemimpin pembangkang Myanmar, Cik Aung San Suu Kyi, semalam menjalani ujian kesihatan di sini.
Kelmarin, Encik John Yettaw, 54 tahun, telah meninggalkan Myanmar bersama Senator Jim Webb, dari Virginia, yang mendapatkan pembebasannya.
Menurut keluarga Encik Yettaw, beliau dimasukkan ke hospital di Bangkok kerana sakit selepas tiga bulan dipenjarakan di Myanmar. -- AP.
Penyelam skuba catat rekod dunia
JAKARTA: Seramai 2,486 penyelam skuba telah mencatatkan satu rekod dunia semalam apabila mereka menyertai satu acara menyelam beramai-ramai di perairan Sulawesi Utara.
Rekod dunia dalam acara itu sebelum ini dicatatkan di Maldives pada 2006 dan disertai oleh 958 penyelam. -- AFP.
Sekolah ditutup jika tiga murid dijangkiti H1N1
PARIS: Menteri Pendidikan Perancis berkata seluruh sekolah mungkin ditutup jika sekurang-kurangnya tiga pelajar dari kelas yang sama dijangkiti virus Influenza A (H1N1) dalam tempoh seminggu.
Encik Luc Chatel berkata, sekolah-sekolah yang ditutup itu hanya akan dibuka semula selepas enam hari dan dibersihkan dengan teliti. -- AP.
Gempa antara kepulauan Jepun dengan Taiwan
TOKYO: Gempa bumi berukuran 6.8 pada skala Richter berlaku di antara kepulauan selatan Jepun dengan pantai Taiwan pagi semalam, menyebabkan amaran sementara tsunami, kata Agensi Meteorologi Jepun.
Gempa bumi itu berlaku pada 9.06 pagi (waktu tempatan) kira-kira 130 kilometer di tenggara Ishigaki. -- AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment