KUALA LUMPUR: Kerja awal pembinaan terowong pemindahan air terbesar di Asia Tenggara sepanjang 45 kilometer dari Karak di Bentong, Pahang ke Hulu Langat, Selangor membabitkan kos RM1.3 bilion, sudah bermula dua minggu lalu.
Setakat ini kerja awal bagi pembinaan terowong berukuran 5.5 meter yang berupaya menyalurkan 1,890 juta liter air sehari ke Selangor itu membabitkan kerja pembinaan jalan masuk ke pintu terowong dan tapak pembinaannya.
Pengarah Pasukan Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor (PPAMPS), Datuk Ismail Mat Noor, berkata terowong air yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun itu, saiznya kecil sedikit daripada Terowong Pengurusan Air Banjir dan Lalu Lintas (Smart) di sini.
Katanya, punca air mentah dari Sungai Semantan di Kampung Jambu Rias, Karak akan dipam menerusi paip sepanjang kira-kira 12 kilometer ke Karak sebelum dialirkan terus ke terowong berkenaan untuk membekalkan air ke Lembah Klang.
“Projek pembinaan PPAMPS membabitkan empat pakej dengan kos keseluruhan RM3.9 bilion dan pembinaan terowong adalah yang paling utama hingga mengambil masa lima tahun.
“Kita akan membina muka sauk dan rumah pam di Kampung Jambu Rias dan dari situ, bekalan air mentah akan disalurkan terus ke Loji Rawatan Air Skim Langat 2 di Hulu Langat, sekali gus dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang dihadapi penduduk di Lembah Klang,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Pada 22 November 2007, Selangor dan Pahang memeterai perjanjian pemindahan air mentah dari Pahang ke Selangor dengan kadar harga air mentah 10 sen bagi setiap liter padu.
Anak syarikat IJM Corporation Bhd, IJM Construction Sdn Bhd, bersama rakan usaha samanya, Shimizu Corporation dan Nishimatsu Construction Co Ltd dari Jepun dan syarikat Malaysia, UEM Builders menerima kontrak kerajaan Malaysia bagi melaksanakan projek pemindahan air mentah di Pahang dan Selangor.
Bagaimanapun, kontraktor terbabit dalam projek berkenaan akan ditentukan konsortium mengendalikan projek ini.
Ismail berkata, projek berkenaan bakal memberi pendapatan dianggarkan berjumlah RM80 juta setahun kepada Pahang, berdasarkan nilai jualan air yang ditetapkan itu, tetapi jumlah pendapatan akan meningkat jika harga berkenaan dikaji semula kelak.
“Sebenarnya, harga jualan air yang dipersetujui antara dua negeri itu boleh dikaji semula bagi tempoh setiap lima tahun sekali,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment