Pages

Monday, August 31, 2009

Lelaki mati ditetak 3 penyerang di ambang merdeka

OHOR BAHARU: Seorang lelaki mati ditetak selepas gagal melarikan diri daripada tiga penyerangnya dalam satu pergaduhan di Jalan Harimau di Taman Century di sini malam tadi.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, Chia Kah Wai, 25, dari Jemaluang, Mersing dipercayai cuba melarikan diri dengan memasuki sebuah restoran di Jalan Beruang, 200 meter dari tempat bermulanya pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Zainuddin Yaacob, berkata seorang pelanggan restoran berusia 47 tahun turut cedera selepas ditetak di belakang kepala.

"Di dalam premis berkenaan mangsa telah ditetak beberapa kali di kepala, badan dan tangan," katanya.

Chia yang cedera parah terus cuba melarikan diri sebelum terjatuh ke dalam longkang sedalam satu meter kira-kira 50 meter dari restoran itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat manakala pelanggan restoran yang cedera dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan.

Siasatan awal polis mendapati tiga suspek berusia dalam lingkungan 20-an di mana dua daripadanya memakai jaket hitam dan bertopi manakala seorang lagi memakai baju T berwarna putih.

Semua suspek yang bersenjatakan parang melarikan diri menggunakan sebuah kereta Toyota Vios berwarna biru.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Zainuddin meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan di talian 07-2218999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - Bernama

No comments:

Posting Terkini