Pages

Saturday, August 29, 2009

Hukuman ke atas Kartika perlu diteruskan

KUALA LUMPUR: Hukuman sebat terhadap model sambilan, Cik Kartika Sari Dewi Shukarno, yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan kerana meminum arak perlu diteruskan bagi mengelak persepsi negatif terhadap Islam serta undang-undang syariah di negara ini.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Encik Mohamad Isa Abdul Ralip, berkata banyak pihak mengeluarkan pelbagai kenyataan mengenai perkara itu yang memberi gambaran salah terhadap pelaksanaannya.

'Dakwaan hukuman sebat itu kejam dan menindas wanita tidak benar, namun pihak tertentu mengambil kesempatan menggunakannya bagi memburuk-burukkan Islam di serata dunia.

'Hakikatnya, sebatan dalam undang-undang syariah tidak sama seperti sebatan dalam undang- undang sivil. Islam juga tidak menindas wanita kerana hukuman terhadap lelaki dan wanita sama saja.

'Jadi, hukuman itu perlu diteruskan supaya orang dapat melihat sendiri sebatan menggunakan rotan kecil itu tidak menyakitkan seperti disangka, selain orang yang disebat juga berpakaian menutup aurat,' katanya pada sidang media anjuran pertubuhan pembela Islam (Pembela) iaitu gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di sini, kelmarin.

Menurut beliau, Malaysia adalah satu-satunya negara di dunia yang mengamalkan dua sistem perundangan yang berjalan seiring dan harmoni sejak sekian lama dan ia hendaklah dihormati, dikekal dan diperkasakan.

'Kami menyeru jangan ada tekanan dan gangguan daripada mana-mana pihak mengenai undang- undang dan pelaksanaan undang- undang syariah.

'Sesiapa yang tidak ada kaitan dengan agama Islam hendaklah tidak mencampuri urusan agama Islam dan sepatutnya diuruskan oleh pihak yang mempunyai bidang kuasa bagi agama Islam,' katanya.

Cik Kartika dihukum denda RM5,000 ($2,045) dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan pada 20 Julai lalu selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai 2008.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, pula berkata Mahkamah Syariah wajar menimbangkan semula hukuman sebatan itu dengan menggantikannya dengan hukuman lebih ringan.

'Secara peribadi, saya berpendapat Kartika memang menunjukkan kekesalannya yang mendalam selain sanggup menerima hukuman itu untuk mencerminkan dia bertaubat,' katanya

No comments:

Posting Terkini