Pages

Tuesday, July 7, 2009

Istana Khir Toyo 24 juta ringgit?

SHAH ALAM, 6 Julai - Isu pembinaan banglo mewah, Ketua Pembangkang, Khir Toyo di Seksyen 7, Shah Alam, timbul apabila kos pembinaannya dikatakan melebihi pendapatan yang diperolehinya ketika menjadi Menteri Besar Selangor.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, ini berikutan nilai hartanah mewah tersebut mencecah kira-kira 24 juta ringgit yang mencakupi keluasan tanah lebih 1 ekar.

Menurutnya, istana Khir Toyo ini juga dibina di atas dua lot tanah yang dibeli dari Syarikat Ditamas Sdn Bhd dengan keseluruhan harga 4 juta ringgit.

“Istana ini paling kurang 18 juta, belum campur perabot, jadi saya estimate sebagai 20 juta, campur dengan 4 juta tanah, istana Khir Toyo nie 24 juta”,katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas DUN Mengenai Tanah, berkata demikian kepada media selepas melawat banglo mewah Khir Toyo di Jalan Suasa, Seksyen 7, Shah Alam pagi tadi.

Dalam pada itu, Ng Suee Lim turut mempersoalkan sumber kewangan Khir Toyo yang meragukan kerana mampu memiliki banglo mewah berjuta-juta ringgit, walhal gaji serta elaun yang diterima selama 8 tahun menjadi menteri besar hanya 4.7 juta ringgit sahaja.

“Saya kira 48 ribu tanpa berbelanja setiap bulan, tak payah belanja semua makan minum kerajaan tanggung termasuk semua pembantu semua dia tanggung, net profit Khir Toyo dapat RM48 ribu, kali 12 bulan, bermaknanya satu tahun dia punya gaji 576 ribu, 8 tahun keseluruhan dia dapat, lebih kurang 4.6 juta campur interest RM4.7juta, saya nak tanya, saya minta khir toyo beri penjelasan daripada RM4.7 juta ini, boleh kah memiliki banglo sebesar istana Khir Toyo ini?

Ng Suee Lim tidak berhasrat untuk melaporkan kepada mana-mana pihak berkuasa, tetapi menyerahkan kepada rakyat Selangor untuk menilai sendiri ketelusan Khir Toyo semasa menjadi Menteri Besar.

Menurutnya, Khir Toyo sering mempersoalkan ketelusan pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor, sedangkan beliau sendiri jelas tidak telus dalam mentadbir negeri selangor di bawah naungan barisan nasional.

“Jadi kalau kita bicarakan soal ketelusan, soal integriti, kebertanggungjawaban, jadi benda ini Khir Toyo kena jawab kepada media, kepada rakyat kenapa dia memiliki harta yang sebegini besar”,katanya.

Ng Suee Lim menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat kes ini dengan adil, berikutan pendedahan beberapa dokumen pembelian tanah yang dibuat Khir Toyo pada Julai 2007.

“Saya mintak SPR, Suruhanjaya Pencegah Rasuah jangan jadi pelindung tolong siasat dan tak perlu cari dokumen dengan saya dokumen ini ada di PTG. Tanya kenapa seorang Menteri Besar, penjawat awam, yang tak boleh meniaga dalam 8 tahun boleh dapat harta yang begitu banyak”,katanya.-MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN

No comments:

Posting Terkini