Pages

Wednesday, July 1, 2009

DAP keluar Pakatan Rakyat Kedah

KUALA LUMPUR: DAP Kedah memutuskan untuk keluar daripada Pakatan Rakyat hari ini ekoran tindakan kerajaan negeri itu yang didakwa tidak menyelesaikan siri isu yang wujud sejak selepas pilihan raya umum 2008.

Keputusan untuk keluar Pakatan Rakyat Kedah diputuskan oleh DAP sebentar tadi, kata Pengerusi DAP Kedah dan Perlis, Thomas Su.

"Keluar, kami sudah buat keputusan... ini keputusan mutkamad kami (DAP Kedah)," kata beliau sambil menambah, atas prinsip dan pendirian parti, pihaknya memutuskan tindakan sedemikian.

Kata beliau, keputusan itu telah diambil selepas Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) merobohkan rumah sembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Setar petang tadi.

Sepasukan anggota penguat kuasa MBAS merobohkan rumah sembelihan babi itu pada pukul 3.30 petang tadi.

Mengikut laporan media sebelum ini, premis itu sepatutnya dirobohkan penghujung Mei lalu, tetapi ditangguhkan selama sebulan sehingga semalam.

Ia merupakan antara beberapa isu yang menjadi punca retaknya kerjasama DAP dalam Pakatan Rakyat Kedah.

Satu lagi isu ialah kontroversi mengenai kuota perumahan 50 peratus bagi bumiputera.

Oktober lalu, kerajaan Pakatan Rakyat Kedah meningkatkan kuota tersebut daripada 30 peratus kepada 50 peratus bagi projek perumahan baru di negeri itu.

DAP mempunyai hanya seorang wakil rakyat di Kedah iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Darulaman, Lee Guan Aik.

No comments:

Posting Terkini