Pages

Tuesday, July 28, 2009

Amerika dan China mula rundingan kerjasama

WASHINGTON: Amerika Syarikat dan China semalam memulakan rundingan mereka yang paling mendalam sejak pelantikan Presiden Barack Obama, dengan Amerika cuba mendapatkan kerjasama daripada negara Asia Timur itu berhubung krisis ekonomi sejagat dan isu-isu lain.

Encik Obama dijangka mengadakan dialog dua hari sebagai sebahagian daripada usaha pemimpin Amerika itu menjalin hubungan antara ekonomi paling besar di dunia dan ekonomi-ekonomi membangun.

Dengan China semakin kurang senang dengan pendedahan besarnya kepada ekonomi Amerika, Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, dan Setiausaha Perbendaharaannya, Encik Timothy Geithner, telah membuat rayuan bersama kepada Beijing agar bekerjasama bagi merangsang pertumbuhan global.

'Cakap mudahnya, tidak banyak masalah global yang boleh diselesaikan oleh Amerika atau China secara sendirian.

'Dan tidak banyak yang boleh dihuraikan tanpa Amerika dan China bekerjasama,' kata Encik Geithner dan Cik Clinton, dalam tulisan mereka yang diterbitkan oleh akhbar The Wall Street Journal, semalam.

Kedua-dua ahli politik itu, yang akan memimpin pihak Amerika dalam rundingan tersebut, memberi hujah bahawa langkah-langkah yang diambil Washington dan Beijing untuk menghasilkan dan menyelamatkan pekerjaaan akan membantu dunia mengharungi cabaran pergolakan ekonomi yang paling teruk sejak Kemelesetan Besar pada 1930-an.

'Kejayaan ekonomi-ekonomi utama dunia dalam mengurangkan tekanan kemelesetan global dan membuat persiapan bagi satu pemulihan adalah disebabkan, sebahagian besarnya, oleh langkah besar yang diambil oleh kedua-dua negara kita,' kata mereka dalam tulisan itu.

'Sedang kita menuju ke arah pemulihan, kita mesti mengambil langkah tambahan untuk meletakkan asas bagi pertumbuhan seimbang dan boleh dikekalkan dalam tahun-tahun akan datang.'

Tiada pengumuman besar dijangka dibuat mengenai rundingan Washington itu tetapi satu siri taklimat akhbar mungkin memberikan sedikit gambaran mengenai hubungan kedua-dua ekonomi itu.

Ahli majlis perbandaran China, Encik Dai Bingguo, dan Naib Perdana Menteri, Encik Wang Qishan, akan mengetuai rombongan China ke 'Dialog Strategik dan Ekonomi' itu. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini