Pages

Friday, June 26, 2009

KOREA U KUTUK IKRAR AS LINDUNGI KOREA S

SEOUL: Korea Utara semalam mengutuk ikrar Amerika Syarikat baru-baru ini hendak memberi perlindungan nuklear kepada Korea Selatan.

Pyongyang berkata langkah itu memperkuat alasan baginya untuk memiliki senjata nuklar.

Akhbar Parti Komunis Korea Utara, Rodong Sinmun, menuduh Amerika dan sekutunya Korea Selatan cuba memprovokasi satu peperangan baru dengan memberi 'payung nuklear' kepada Seoul.

Ia menyatakan satu peperangan baru boleh meletus bila-bila masa saja, dan Korea Utara akan terus mempertingkat senjata nuklear.

'Selagi dasar permusuhan Amerika berterusan, kami tidak akan melupuskan, malah memperkuat senjata nuklear kami,' kata Rodong Sinmun.

Kenyataan itu merupakan reaksi terbaru Korea Utara terhadap pertemuan antara Presiden Amerika, Encik Barack Obama, dan Presiden Korea Selatan, Encik Lee Myung-bak, minggu lalu.

Dalam satu kenyataan bersama, Amerika memberi jaminan akan mempertahan Korea Selatan dengan senjata nuklear.

Perkembangan itu berlaku sewaktu kapal pemusnah tentera laut Amerika mengekori kapal Korea Utara, Kang Nam 1, yang disyaki membawa senjata sedang menuju Myanmar.

Rodong Shinmun berkata ikrar Amerika hendak mempertahankan Korea Selatan dengan 'payung nuklear' bermakna besar kemungkinan Amerika hendak melancarkan serangan nuklear ke atas Korea Utara.

Pyongyang memberi amaran, jika konflik berlaku, ia akan menghujani Korea Selatan dengan serangan senjata nuklear.

Akhbar itu menyifatkan Encik Lee sebagai 'anjing' kepada 'tuannya' Amerika.

Korea Utara berkata ia akan menganggap sebarang pemintasan ke atas kapal-kapalnya, termasuk Kang Nam 1, sebagai satu perisytiharan perang. -- AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini