WASHINGTON: Pemerintah Amerika Syarikat kelmarin berkata ia akan menghantar semula seorang duta besar ke Syria, selepas hubungan kedua-dua negara terhenti selama empat tahun.
Langkah itu diambil Presiden Barack Obama untuk membaiki hubungan dengan Damsyik semasa Washington berusaha memulihkan rundingan damai Arab-Israel.
'Kami bersedia menjalin hubungan dengan Syria bagi kepentingan kami menerusi dialog secara langsung dan berterusan,' kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Ian Kelly.
'Namun, kami masih bimbang dengan peranan Syria di rantau ini. Satu cara bagi menangani kebimbangan ini ialah dengan meletak seorang duta besar di Damsyik,' tegas beliau.
Langkah itu mencerminkan pengiktirafan Washington mengenai peranan penting yang dimainkan Syria di rantau itu, kata Encik Kelly kepada pemberita.
Menurut beliau, Washington sudah memberitahu kedutaan Syria di sini dan Kementerian Luar di Damsyik mengenai 'keputusan pentadbiran Obama hendak menghantar semula seorang duta besar ke Syria'.
Seorang lagi pegawai Jabatan Negara berkata Washington belum memilih siapa yang bakal men jadi duta besar ke Syria.
Mantan presiden George Bush menggantung hubungan dengan Syria dan memanggil pulang duta besarnya dari Damsyik pada 2005, menyusuli pembunuhan mantan perdana menteri Lebanon, Encik Rafiq Hariri.
Jurucakap kedutaan Syria di Washington, Encik Ahmed Salkini, menyifatkan perkembangan itu sebagai 'satu langkah pada haluan yang betul, dan sudah pasti satu isyarat keikhlasan pentadbiran Obama hendak menjalin hubungan dengan Syria.' - AFP, Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment