BANK Dunia semalam memberi amaran bahawa prospek ekonomi dunia kekal 'tidak menentu' walaupun terdapat tanda-tanda pemulihan di beberapa bahagian dunia.
Bank itu menurunkan ramalan pertumbuhan ekonomi bagi kebanyakan negara tahun ini.
Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) bagi Eropah dan Asia Tengah dijangka susut sebanyak 4.7 peratus tahun ini sebelum pemulihan kecil sebanyak 1.6 peratus tahun depan.
Bank Dunia menurunkan ramalan bagi ekonomi sejagat kepada -2.9 peratus daripada -1.7 peratus pada Mac lalu.
Ia juga meminta pemerintah di seluruh dunia supaya berjaga-jaga dalam melakarkan 'strategi keluar' ketika menukar dasar fiskal dan kewangan berkembang apabila ekonomi menunjukkan pemulihan.
Dalam laporan Perkembangan Kewangan Sejagat yang dikeluarkan pada sidang antarabangsa di Seoul semalam, Bank Dunia berkata dasar berkembang akan mempunyai kesan negatif terhadap dasar hadapan jika dasar berkembang itu dikekalkan selepas pemulihan.
Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi di negara-negara membangun ialah sebanyak 1.2 peratus tahun ini tetapi tanpa China dan India, keluaran GDP dijangka mencerut sebanyak 1.6 peratus.
Dalam tinjauan Mac lalu, Bank Dunia meramalkan pertumbuhan tahunan sebanyak 2.1 peratus bagi negara-negara membangun dan sifar jika China dan India dikecualikan.
Pada tahun depan, ekonomi sejagat dijangka tumbuh sebanyak 2 peratus dan negara-negara membangun pula diramal meningkat sebanyak 4.4 peratus.
Tanpa mengambil kira China dan India, negara-negara membangun dijangka tumbuh sebanyak 2.5 peratus.
Ekonomi China dijangka tumbuh sebanyak 7.2 peratus tahun ini dan 7.7 peratus tahun depan, manakala ekonomi India dijangka tumbuh sebanyak 5.1 peratus tahun ini dan 8 peratus tahun depan.
Sementara itu, Bank Dunia melahirkan kebimbangan mengenai kurangnya aliran modal swasta ke dalam negaranegara membangun yang merosot sebanyak 49 peratus kepada AS$363 bilion ($529 bilion) tahun ini, daripada AS$707 bilion tahun lalu dan AS$1.2 trilion pada 2007.
Bank Dunia juga menjangkakan jumlah dagangan dunia susut sebanyak 9.7 peratus sebelum tumbuh sebanyak 3.8 peratus tahun depan.
'Keperluan menyusun semula sistem perbankan dan had terhadap dasar berkembang di negara-negara pendapatan tinggi akan menghalang pemulihan sejagat,' kata Pakar Ekonomi Bank Dunia, Encik Justin Lin, dalam kenyataannya semalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment