Pages

Friday, May 1, 2009

LTTE IKRAR TIDAK AKAN MENYERAH KALAH

COLOMBO: Gerila Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) semalam berkata pihaknya tidak akan menyerah kalah dan merayu masyarakat antarabangsa agar terus berusaha mengisytiharkan gencatan senjata.

Pemerintah Sri Lanka enggan menghentikan operasi serangan ke atas LTTE yang kini berkubu di kawasan di timur laut Sri Lanka walaupun sekitar 50,000 penduduk setempat masih terperangkap di situ.

'Jika mana-mana negara benar-benar prihatin dengan nasib penduduk ini, saya meminta negara itu agar melepasi 'batas diplomatik' demi menyelamatkan nyawa manusia dan menggesa Sri Lanka menghentikan perang ini,' kata ketua LTTE, Balasingam Nadesan.

Kenyataan Nadesan itu dibuat selang sehari Menteri Luar Britain dan Perancis tiba di Sri Lanka bagi mendesak agar satu perjanjian damai dapat dimeterai bagi membolehkan bantuan kemanusiaan diberikan kepada para penduduk yang terperangkap di zon perang.

Mereka juga menggesa gerila LTTE agar membenarkan para penduduk meninggalkan kawasan itu.

Ahad lalu, gerila LTTE menggesa pemerintah Sri Lanka agar mengisytiharkan gencatan senjata.

Bagaimanapun, pemerintah mendesak agar gerila LTTE menyerah kalah.

Tuntutan itu ditolak oleh Nadesan.

'Kami tidak akan menyerah kalah dan meletakkan senjata. Perjuangan kami untuk mendapatkan kebebasan akan diteruskan sehingga aspirasi kami yang sah dapat dipenuhi,' katanya.

Pemerintah dan kumpulan hak asasi kemanusiaan antarabangsa telah menuduh gerila LTTE sengaja menawan berpuluh ribu penduduk setempat di zon perang sebagai perisai manusia.

Nadesan menafikan tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai satu propaganda pemerintah.

'Kami semua satu keluarga. Macam mana seseorang itu menawan anggota keluarganya sendiri untuk dijadikan perisai manusia?' kata Nadesan.

Dia turut menafikan laporan bahawa pemimpin kanan LTTE telah lari ke luar negeri.

Gerila LTTE mula memperjuangkan penubuhan sebuah negara merdeka bagi golongan minoriti Tamil di wilayah utara dan timur Sri Lanka sejak 1983.

Golongan minoriti Tamil dikatakan telah dipinggirkan sejak berdekad-dekad lamanya oleh pemerintah yang majoritinya daripada etnik Sinhalese.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata hampir 6,500 penduduk telah terkorban dalam serangan terbaru ini.

Isnin lalu, pemerintah Sri Lanka berkata ia akan berhenti menggunakan senjata berat dalam zon perang yang hanya seluas 5 kilometer persegi kerana ia padat dengan penduduk.

Bagaimanapun, laporan daripada kakitangan kesihatan di kawasan itu berkata serangan udara dan pengeboman masih berterusan.

Laman web TamilNet melaporkan sekitar 300 penduduk terkorban dalam serangan bom kelmarin. -- AFP, AP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini