Pages

Sunday, May 24, 2009

HARGA EMAS DI PARAS TERTINGGI

HARGA emas telah meningkat ke paras paling tinggi sejak Mac lalu apabila pasaran ekuiti sejagat menjunam semula dan meningkatkan minat pelabur kepada logam berharga itu sebagai pelaburan alternatif.

Saham-saham di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat menjunam selepas Lembaga Federal meramalkan kemelesetan lebih buruk daripada ramalan, dan sebahagian pegawai Fed berkata lebih banyak pembelian aset diperlukan bagi melihat pemulihan yang lebih kukuh.

Emas telah meningkat ke paras dua bulan paling tinggi mengatasi paras AS$950 ($1,415 ) satu aun kelmarin, ekoran pasaran ekuiti yang lemah.

Dolar Amerika Syarikat juga merosot ke paras empat bulan terendah berbanding dolar Singapura dan mata wang lain di dunia ekoran sentimen positif dalam pasaran kewangan telah meningkatkan minat pelabur.

Sebahagian pelabur telah membeli emas sebagai pelaburan semasa saham merosot.

'Hakikat pasaran ekuiti kelihatan mendak dan kebimbangan inflasi mula dirasakan akan memberikan emas momentum peningkatan,' kata Encik James Moore, pengamat di TheBullionDesk.com di London, dalam laporannya yang dikirim menerusi e-mel.

Awal dari itu, harga mencapai AS$951.80 - paling tinggi pernah dicatatkan sejak 23 Mac lalu.

'Harga emas dijangka terus meningkat dalam masa jangka terdekat, dengan paras bertahan baru pada AS$979 berbanding paras tertinggi Mac itu,' kata Encik Tom Pawlicki, pengamat di MF Global in Chicago, dalam laporannya, lapor agensi Bloomberg.

Para pengamat berkata, harga emas akan meningkat ekoran spekulasi oleh individu kaya yang menambah pelaburan emas selain ekuiti.

Syarikat Paulson & Co, yang dikendalikan hartawan terkaya, Encik John Paulson, menjadi pelabur emas terbesar sejak 31 Mac lalu.

'Kami dapat lebih banyak klien dengan aset bernilai tinggi yang membeli emas bulan lalu,' kata Encik Mark O'Byrne, pengarah urusan firma broker Dublin Gold.

Pembelian emas pelaburan meningkat tiga kali ganda dalam suku pertama tahun ini kepada 595.9 metrik tan ontric, menurut Majlis Emas Sedunia, minggu ini.

Indeks 500 saham Standard & Poor's 500 menjunam, memaparkan kemerosotan ekuiti dan 'pelabur bergerak semula kepada emas,' lapor pengamat.

No comments:

Posting Terkini