JAKARTA: Ketegangan di wilayah Aceh semakin meningkat, sedang keganasan politik dan permusuhan antara bekas gerila pemisah dan pihak tentera kian memuncak menjelang pilihan raya parlimen Indonesia bulan depan, kata para penganalisis.
Dua laporan terbaru, oleh Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) dan Bank Dunia, berkata ketegangan antara bekas gerila pemisah dan tentera Indonesia (TNI) berada di paras paling tinggi sejak perjanjian damai Helsinki pada 2005.
Kelmarin Bank Dunia berkata sejak beberapa bulan lalu 16 orang terbunuh, termasuk empat anggota Parti Aceh yang mewakili kepentingan bekas gerila Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Ia nampaknya pembunuhan bermotif politik.
Selain itu, 47 orang cedera dan 17 bangunan serta kenderaan rosak, sementara parti-parti politik menjadi sasaran 13 tindakan membakar atau serangan bom tangan.
Polis Aceh tidak membuat sebarang tangkapan selepas berlaku sejumlah insiden, tetapi seorang pegawai berkata Isnin lalu bahawa semua insiden sedang disiasat.
ICG pula berkata proses damai menghadapi risiko kegagalan jika ketegangan sekarang tidak dihuraikan.
Menurutnya, pembunuhan tiga bekas gerila GAM Februari lalu meningkatkan ketegangan menjelang pilihan raya pada 9 April.
Perjanjian damai Helsinki 2005 menjamin autonomi meluas dan membenarkan penubuhan parti politik di Aceh sebagai tukar ganti bagi perdamaian dan perlucutan senjata oleh gerila GAM.
Namun, dua pihak itu saling menuduh satu sama lain tidak mengota janji mereka.
'Ramai pegawai TNI yakin GAM masih memperjuangkan kemerdekaan. Kemenangan besar bagi Parti Aceh boleh menggugat kesatuan republik Indonesia,' kata penganalisis ICG, Cik Sidney Jones, dalam satu kenyataan.
'Ramai pemimpin GAM berpendapat pihak tentera bertekad hendak menghalang Parti Aceh dengan apa cara sekali pun.
'GAM percaya serangan ke atas anggota atau pejabatnya ada kaitan dengan TNI,' tambah beliau.
Ketegangan mungkin tidak meletus menjadi konflik terbuka, tetapi jika pembunuhan bekas gerila GAM tidak dihurai, ia boleh menjejas proses damai, tegas beliau. -- AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment