Pages

Wednesday, March 25, 2009

PENAHANAN SUU KYI ABAI UNDANG-UNDANG MYANMAR

WASHINGTON: Sebuah panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin menggesa junta tentera Myanmar membebaskan pemimpin pembangkang, Cik Aung San Suu Kyi, dan menegaskan bahawa penahanan beliau melanggar bukan sahaja undang-undang antarabangsa bahkan undang-undang Myanmar sendiri.

Peguam Cik Suu Kyi yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Encik Jared Genser, mendedahkan salinan satu pandangan yang dicapai Kumpulan Kerja PBB mengenai Penahanan Sewenang-wenang (Unwgad) sebagai jawapan kepada pertanyaan beliau.

Panel PBB itu berkata empat penilaian mendapati junta tentera Myanmar melanggar undang-undang antarabangsa dengan menahan Cik Suu Kyi apabila parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan beliau memenangi pilihan raya pada 1990 tetapi tidak dibenarkan mengambil alih kuasa.

Dalam penilaian terbarunya, panel PBB itu juga mendapati junta tentera Myanmar telah melanggar UndangUndang Perlindungan Negara 1975 negara itu yang membenarkan penahanan tanpa bicara hanya ke atas mereka yang membahayakan keselamatan negara atau ketenteraman awam.

Menurut Unwgad, perintah tahanan hanya boleh dilanjutkan selama lima tahun lagi dan tempoh tersebut telah pun berakhir pada Mei 2008.

'Pembaharuan terkini (2008) perintah yang meletak Cik Suu Kyi di bawah tahanan dalam rumah mencabul bukan sahaja undang-undang antarabangsa bahkan undang-undang Myanmar sendiri,' kata kenyataan pandangan guaman yang dihantar Unwgad kepada junta tentera Myanmar kelmarin.

Encik Genser, peguam yang mewakili keluarga Cik Suu Kyi, berkata meskipun Unwgad sebelum ini mendapati penahanan beliau melanggar undang-undang antarabangsa, ini kali pertama ia mengatakan junta tentera telah melanggar undang-undang Myanmar sendiri.

Menurut beliau, junta tentera Myanmar belum memberi sebarang respons berhubung hujah PBB itu dan tidak memberi sebab kenapa Cik Suu Kyi masih ditahan.

Jurucakap NLD, Encik Nyan Win, berkata hujung minggu lalu bahawa peguam Cik Suu Kyi telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Jeneral Thein Sein, pada 13 Mac meminta diadakan perbicaraan bagi merayu pembebasan Cik Suu Kyi apabila tempoh tahanan setahun ke atasnya tamat Mei ini.

Peguam berkenaan, Encik Kyi Win, menghantar surat rayuan pada Oktober tahun lepas tetapi belum ada sebarang jawapan daripada pihak berkuasa, kata jurucakap tersebut. -- AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini