Mahkamah Tinggi petang ini menolak permohonan peguam bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk menangguhkan keputusan agar kes itu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Justeru, Hakim Mahkamah Tinggi Lau Bee Lan mengarahkan kedua-dua pihak mengemukakan soalan-soalan untuk dirujuk ke Mahkamah Persekutuan Selasa ini.
Mahkamah ditangguhkan sehingga 2.30 petang Selasa ini.
Ketua pasukan peguam Nizar, Sulaiman Abdullah memohon mahkamah agar menangguhkan keputusan pagi tadi untuk merujuk kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan.
Alasan yang diberikan ialah Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir tidak diwakili dalam prosiding peringkat ini.
Bagaimanapun Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaruddin Md. Said yang mewakili Peguam Negara berkata Zambry tidak perlu diwakil pada peringkat ini kerana permohonan semakan ini merupakan permohonan ex-parte (satu pihak).
Beliau juga berkata pihaknya telah mengemukakakan empat soalan kepada mahkamah dalam prosiding hari.
"Pihak kami telah mengemukakan empat soalan sementara hari ini.
"Kita akan kemaskan lagi dan serahkan (soalan) Selasa depan," katanya ketika ditemui media.
Terdahulu pada sebelah pagi tadi, Mahkamah Tinggi memutuskan untuk merujuk isu perlembagaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak dalam kes saman Nizar terhadap Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir ke Mahkamah Persekutuan.
Ia diputuskan Lau.
Bagaimanapun, kes tersebut akan diteruskan di Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengenai persoalan yang timbul dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri berkenaan.
Lau berkata, berdasarkan Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 terpakai kepada Undan-undang Tubuh Negeri Perak.
"Berdasarkan peruntukan itu mahkamah mempunyai kuasa untuk merujuk isu mengenai prosedur tubuh kerajaan Negeri Perak ke Mahkamah Persekutuan berhubung perlembagaan negeri," katanya.
Mahkamah juga meminta, peguam kedua-dua belah pihak membantu beliau untuk memutuskan isu undang-undang yang berkaitan dengan peruntukan perundagan sebelum dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Hakim memberi masa selama sejam untuk kedua-dua belah pihak menyediakan persoalan-persoalan yang timbul sebelum dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.
Kes itu diambil alih Lau selepas Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Ariff Md Yusof menarik diri daripada mendengar permohonan tersebut.
Sementara itu, Nizar ketika ditemui berkata beliau menyambut baik keputusan hakim untuk merujuk isu yang berkaitan Undang-undang Tubuh Negeri ke Mahkamah Persekutuan.
"Pihak saya akur dan terima keputusan hakim. Kita hormati dan akan cuba yang terbaik,"katanya. --mstar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment