Mendarat tanpa gear
JAKARTA: Sebuah pesawat Lion Air terpaksa mendarat tanpa gear depan di lapangan terbang Hang Nadim di Batam, semalam.
Kesemua 156 penumpangnya selamat.
Pesawat McDonnell Douglas MD-90 itu berlegar di udara sejam sebelum juruterbang memutuskan untuk mendarat kerana masalah gear itu tidak dapat dibaiki. -- AFP.
PM Jepun tiba di Washington
WASHINGTON: Perdana Menteri Jepun, Encik Taro Aso, tiba di sini semalam, menjadi pemimpin luar pertama menemui presiden baru Amerika Syarikat, Encik Barrack Obama, di Rumah Putih.
Dua pemimpin ekonomi terbesar dunia itu antara lain akan berbincang mengenai cara menangani kemelesetan ekonomi global, isu Afghanistan dan Korea Utara. -- AFP, Reuters.
Askar NZ lebih lama di Afghan
WELLINGTON: New Zealand semalam mengumumkan askarnya akan kekal di Afghanistan sehingga September 2010 - setahun lebih lama daripada jadual asal.
Askar New Zealand dikerah ke negara itu sejak 2001.
Sekitar 140 askarnya kini menyediakan bantuan keselamatan dan pembangunan di wilayah Bamiyan. -- AP.
Nak curi bank, termasuk tandas
PARIS: Seorang perompak ghairah mengorek lubang bawah tanah untuk merompak sebuah bank, tetapi tersilap lokasi dan muncul di tandas, bukan bilik kebal.
Akibatnya, lelaki Belgium berusia 21 tahun itu ditangkap.
Dia memecah masuk bangunan bersambung bank Banque Populaire di Marseilles untuk mengorek lubang ke bilik kebal yang menyimpan kotak deposit. -- Agensi.
Jual bayi untuk bayar hospital
HYDERABAD: Seorang ibu tunggal miskin di India menjual bayinya yang baru lahir 6,000 rupee ($183) agar beliau dapat membayar bil hospital.
Cik Rajitha, 20 tahun, melahirkan bayi itu melalui pembedahan Caesarean di bandar Kothagudem minggu lalu dan tidak mampu menanggung bil hospital sebanyak 2,000 rupee.
Badan kebajikan menggesa bayi itu dikembalikan kepadanya, sementara polis akan mengambil tindakan ke atas hospital. -- AFP.
Kelantan isytihar 2009 Tahun Basmi Sampah
KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam diberitahu negeri itu akan bebas sampah pada 2010 apabila usaha menangani masalah itu dijalankan secara agresif mulai tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata bagi tujuan itu, kerajaan Kelantan telah mengisytiharkan tahun ini sebagai Tahun Membasmi Sampah. -- BHM.
PM: Status Islam tidak boleh digugat
KUALA LUMPUR: Sebarang usaha atau cadangan menubuhkan majlis perundingan antara agama di negara ini tidak boleh menjejas atau menggugat status Islam sebagai agama rasmi negara, kata Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, semalam.
Mengulas laporan akhbar mengenai cadangan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang menubuhkan majlis perundingan antara agama di sana, Datuk Seri Abdullah berkata Islam harus kekal sebagai agama rasmi Malaysia dan pengiktirafan itu tidak boleh digugat. -- BHM.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment