Pages

Saturday, February 28, 2009

Ringkas Berita Dunia dan Malaysiakini

Enjin rosak mungkin punca nahas

AMSTERDAM: Kerosakan enjin mungkin punca yang menyebabkan pesawat Turkish Airlines terhempas dan menyebabkan sembilan penumpang terkorban pada Rabu lalu.

Pesawat itu patah tiga apabila terhempas dalam cuaca kabus sekitar 1.5 kilometer dari lapangan terbang Schiphol, Amsterdam. -- AP.

Jaga rambut, jaga pakaian

BEIJING: Kakitangan awam di bandar raya Zhengzhou tidak dibenarkan menggayakan 'fesyen rambut luar daripada kebiasaan' atau memakai pakaian yang berwarna-warni, menurut arahan terbaru majlis bandar raya tersebut.

'Jangan berpakaian sesuka hati,' menurut pekeliling perintah berkenaan yang menekankan etika berpakaian rapi dan kemas serta teratur. -- Reuters.

Lagi harimau Sumatera dibunuh

JAKARTA: Penduduk kampung di Simpang Gaung di wilayah Riau telah membunuh harimau Sumatera yang keempat dalam tempoh sebulan selepas binatang itu menyerang dua petani Ahad lalu.

Sejauh ini, harimau yang semakin pupus itu telah membunuh enam penduduk kampung di Sumatera.

Dana Hidupan Liar Sedunia (WWF) melahirkan keprihatinan kerana harimau merupakan binatang terlindung dan kini hanya terdapat 400 harimau Sumatera yang masih hidup. -- AFP.

Askar AS undur dari Iraq 2010

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, merancang mengundurkan askar negaranya dari Iraq menjelang Ogos 2010.

Ini bermakna askar Amerika akan berundur 19 bulan selepas Encik Obama menjadi Presiden - lama sedikit berbanding tempoh 16 bulan yang telah dijanjikan beliau semasa kempen Pilihan Raya.

Encik Obama bagaimanapun akan mengekalkan antara 35,000 dengan 50,000 askar untuk memberi sokongan kepada pasukan keselamatan Iraq.

Kini, sekitar 142,000 askar berada di Iraq. -- AFP.

Penyamar polis ditahan

KUANTAN (Pahang): Seorang nelayan berasal dari Setiu, Terengganu, yang menyamar sebagai anggota polis ditahan di Jalan Bukit Ubi, di sini, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi) Pahang, Superintenden Nordin Mustapha, berkata polis percaya lelaki berusia 34 tahun itu terbabit dalam beberapa kes menyamar sebagai anggota polis dan memeras ugut di sekitar Kuantan sejak beberapa minggu lalu. -- Bernama.

Nizar enggan pulangkan kereta

IPOH: Setelah mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar Ahad lalu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, bagaimanapun enggan menyerahkan kereta rasmi jenis Toyota Camry dengan alasan kereta itu adalah simbol 'kerajaan negeri yang sah'.

'Beliau bersedia memulangkannya jika mahkamah mengisytihar Zambry (Datuk Dr Zambry Abdul Kadir) adalah menteri besar yang sah selepas ini,' kata Encik Amran Harun, pegawai khas mantan menteri besar Perak itu. -- Bernama.

No comments:

Posting Terkini