Pages

Saturday, February 28, 2009

'RAJA ECSTASY' DITANGKAP

KUALA LUMPUR: Dua pakar memproses dadah terbesar di Kuala Lumpur dengan julukan 'Raja Ecstasy' dikesan mencipta peralatan seakanakan mesin pemerah tebu dan santan untuk menghasilkan ribuan pil khayal itu.

Kedua-dua mereka yang berusia 25 dan 45 tahun itu turut menggunakan pelbagai campuran kimia berbahaya seperti peluntur cat, serbuk kimia industri dan serbuk pewarna lukisan sebagai ramuan pil Ecstasy yang dibuat.

Mereka yang amat dikehendaki polis itu diberkas dalam serbuan di Taman Desa, Jalan Klang Lama, di sini, sebelum merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM2 juta ($833,700).

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat, berkata sindiket yang dipercayai bergiat aktif sejak setahun lalu dikesan menjadi pembekal pil Ecstasy dan Eramin 5 di pusat hiburan sekitar Lembah Klang.

'Dalam serbuan 5 petang itu, polis menahan dua kenderaan mewah, Toyota Harrier dan Honda CRV, milik kedua-dua suspek. Hasil pemeriksaan, polis menemui satu beg plastik putih mengandungi ketamine dianggarkan 4,975 gram.

'Susulan penemuan itu, polis menyerbu satu kondominium di Taman Desa yang disewa suspek. Rumah itu didapati digunakan sebagai markas dan makmal untuk memproses pil Ecstasy serta stor simpanan pelbagai jenis dadah,' katanya.

Antara dadah ditemui ialah 19 kilogram ketamine, serbuk oren dipercayai Ecstasy seberat tujuh kilogram, 1,571 pil Ecstasy yang sudah diproses, 4,080 pil Eramin 5, lima kilogram heroin, 0.5 kilogram syabu, 280 pil WY dan 0.2 kilogram dadah yang belum dipastikan jenisnya.

Pelbagai jenis peralatan buatan sendiri dijumpai termasuk mesin menyerupai pemerah tebu dan santan untuk menghasilkan pil Ecstasy dalam kuantiti besar dan penimbang dadah.

Selain itu, dua alat pemampat hidraulik dipercayai digunakan untuk menghasilkan pil Ecstasy dalam pelbagai saiz serta cecair dan serbuk kimia industri sebagai ramuan pil khayal itu.

Datuk Abdul Samah berkata polis turut menjalankan pemeriksaan di rumah seorang suspek berusia 45 tahun di Klang dan menemui jaket kalis peluru serta wang RM212,445 dipercayai hasil penjualan dadah berkenaan. Tiga kenderaan jenis Toyota Unser, Honda Civic dan Perodua Kancil juga ditemui. -- Harian Metro.

No comments:

Posting Terkini