Pages

Saturday, February 14, 2009

Pintu masuk baru di Kudat, Lahad Datu dan Semporna

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri merancang membuka tiga lagi pintu masuk utama ke Sabah iaitu di Kudat, Lahad Datu dan Semporna bagi mengatasi kebanjiran pendatang tanpa izin ke negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman berkata ini merupakan tambahan kepada dua pintu masuk sedia ada iaitu di Sandakan dan Tawau.

“Ketiga-tiga pintu masuk itu akan dibuka dalam tahun ini dengan pintu masuk ke Semporna dijangka dibuka dalam bulan ini. Ia bagi memastikan rakyat asing menggunakan pintu masuk dan dokumen yang sah.

“Jabatan Imigresen juga akan menguatkuasakan sepenuhnya sistem kawalan biometrik di pintu-pintu masuk utama bagi mengenal pasti dan mengesan pendatang tanpa izin,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di sini, kelmarin.

Musa berkata demikian bagi mengulas mengenai operasi bersepadu fasa dua 2009, yang akan ditumpukan di kawasan pantai timur Sabah.

Beliau berkata semasa operasi bersepadu fasa pertama tahun lepas yang memfokuskan penangkapan dan pengusiran pendatang tanpa izin di negeri ini, seramai 32,530 rakyat asing diperiksa dalam 35 siri operasi yang dijalankan.

“Sepanjang tahun 2008, seramai 24,269 orang ditahan dan ditempatkan di pusat tahanan sementara di seluruh negeri dan daripada jumlah itu, seramai 19,151 telah diusir ke negara asal iaitu 13,615 rakyat Filipina, 5,278 Indonesia dan 258 lagi membabitkan rakyat negara lain.

“Enam puluh empat peratus daripada jumlah yang diusir itu telah dihadapkan ke mahkamah khas pendatang tanpa izin dan dikenakan hukuman sekurang-kurangnya satu bulan penjara dan dua kali sebatan,” katanya.

Musa berkata tindakan juga diambil terhadap 99 kes kanak-kanak jalanan dengan menempatkan mereka di rumah kebajikan atau rumah perlindungan ehsan.

No comments:

Posting Terkini