Pages

Tuesday, February 24, 2009

Penghantar surat terlepas hukuman gantung tikam wanita

KUALA LUMPUR: Seorang penghantar surat yang didakwa membunuh seorang wanita dengan lebih 10 kali tikaman di perut dan leher hari ini terlepas hukuman gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini membebas dan melepaskannya dari tuduhan itu.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah, berkata keterangan saksi pendakwaan adalah tidak mencukupi untuk menyabitkan tertuduh dengan kejadian pembunuhanitu.

"Saksi pendakwaan ke-12 dalam keterangannya memberitahu dia hanya melihat tertuduh mundar mandir di hadapan rumah mangsa. Keterangan itu tidak mencukupi. Juga tiada saksi lain yang melihat tertuduh membunuh mangsa," katanya.

Beliau juga berpuas hati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes itu secara 'prima facie' dan memerintahkan tertuduh, Jamaludin Samad, 24, dibebaskan tanpa membela diri.

Jamaludin mengaku tidak bersalah membunuh pekerja kedai aksesori wanita, Norazwin Zahari, 23, di antara jam 11 pagi dan 8 malam, 29 Mac 2005, di rumah mangsa, di No 91-7k, Blok B, Tingkat 10, Flat Pekeliling, Dang Wangi, di sini.

Mangsa dipercayai mati kira-kira tujuh jam sebelum ditemui akibat mengalami pendarahan teruk pada leher dan perut setelah ditikam menggunakan senjata tajam.

Di luar mahkamah, Jamaludin, anak bongsu dari tujuh beradik itu memberitahu wartawan: "Seksanya duduk dalam penjara empat tahun. Saya amat gembira dengan keputusan itu dan merancang untuk mencari pekerjaan baru bagi menyara kehidupan saya selepas ini."

Jamaludin diwakili dua peguambela Aizul Rohan Anuar dan Eugene Lee sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Yaacob Chik. - Bernama

No comments:

Posting Terkini