Pages

Saturday, February 14, 2009

Pemuda DAP buat aduan polis terhadap Umno

IPOH: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) hari ini membuat laporan polis terhadap UMNO dan Naib Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin kerana menganjurkan perhimpunan haram di Padang Sultan Abdul Jalil di sini, Isnin lalu.

Laporan itu dibuat oleh Naib Pengerusi DAPSY, Wong Kah Woh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning kira-kira pukul 10.50 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini.

Kah Woh berkata, berdasarkan laporan media, ucapan Khairy pada perhimpunan secara jelas berniat menggalakkan kekerasan digunakan terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Saya terkejut selepas mengetahui UMNO dan Khairy dibenarkan untuk mengadakan perhimpunan haram di tempat terbuka tanpa campur tangan polis.

"Kandungan ucapan Khairy mempunyai niat untuk mencetuskan keganasan dan menggugat ketenteraman awam," katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan IPD itu.

Beliau berkata, polis perlu mengambil tindakan secara adil ke atas semua pihak tanpa mengira parti politik bagi membuktikan mereka adalah polis untuk rakyat.

"DAPSY mendesak polis mengambil tindakan atas laporan," katanya. BERNAMA

No comments:

Posting Terkini