Pages

Friday, February 6, 2009

Nizar masuk pejabat MB, diarah keluar

PETALING JAYA: Sehari selepas dititahkan Sultan Perak meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Ipoh pagi ini.

Beliau memasuki bangunan tersebut bersama 10 Exco Pakatan rakyat kira-kira pukul 9.50 pagi.

Bagaimanapun beliau diminta meninggalkan pejabatnya yang kini kosong di bangunan SUK tersebut pada pukul 10.15 pagi oleh Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah.

Zulkifli yang menghentikan sidang media Nizar di pejabat tersebut seterusnya mengiringi beliau keluar.

Pintu masuk ke bangunan SUK yang telah ditutup pada jam 9.25 pagi tadi.

Hanya kakitangan awam yang bertugas di bangunan tersebut sahaja yang dibenarkan masuk.

Nizar pada sidang akhbar di kediaman rasminya di Ipoh semalam mengumumkan keengganannya melepaskan jawatan Menteri Besar kerana menganggap beliau masih menyandang jawatan itu secara sah mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan.


No comments:

Posting Terkini