Pages

Friday, January 9, 2009

ISRAEL BEDIL SEKOLAH PBB, 40 TERBUNUH

BANDAR GAZA: Tiga peluru mortar Israel mengenai pekarangan sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB) di Gaza tempat penduduk Palestin mencari perlindungan, menyebabkan 40 orang terkorban kelmarin, kebanyakan mereka wanita dan kanak-kanak.

Tentera Israel berkata ia hanya membalas bedilan mortar yang dilepaskan pejuang Hamas dari pekarangan sekolah itu, yang terletak di kem pelarian Jabaliya. Hamas, menurut mereka, menjadikan orang awam sebagai selindung.

Dalam satu kenyataan, tentera Israel berkata mangsa yang terkorban termasuk dua militan Hamas, Imad Abu Asker dan Hassan Abu Asker.

Seorang saksi dari Jabaliya, Ibrahim Amen, 16 tahun, berkata dia melihat salah seorang militan, yang dikenali sebagai Abu Khaled Abu Asker, dekat sekolah itu sebelum serangan berlaku.

Ibrahim berkata dia dan abangnya, Iyad, 20 tahun, sedang menimbun pasir di sekitar kem itu apabila sekolah dibedil, menyebabkan abangnya cedera.

PBB belum dapat memastikan kesahihan kenyataan tentera Israel itu.

Para pegawai PBB pada mulanya berkata 30 orang terkorban manakala 55 lagi cedera dalam serangan itu. Tetapi pegawai hospital Palestin berkata 40 orang terkorban.

Setiausaha Agung PBB, Encik Ban Ki-moon, menyifatkan serangan ke atas sekolah PBB di Gaza sebagai 'tidak dapat diterima'.

Jurucakap Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB (UNRWA), Encik Christopher Gunness, menggesa supaya dijalankan satu siasatan bebas.

Bedilan Israel sejauh ini telah mengenai tiga sekolah PBB, termasuk sekolah untuk pelajar perempuan yang terkena bedilan kelmarin.

Menurut laporan, sekitar 15,000 penduduk Palestin berlindung di 23 sekolah PBB di Gaza selepas rumah mereka musnah dalam serangan Israel. -- AP.

No comments:

Posting Terkini