Pages

Friday, January 9, 2009

LELAKI FAIL SAMAN SELEPAS DIPUTUS TUNANG

SHAH ALAM: Seorang lelaki memfail saman lebih RM70,000 ($29,431) terhadap bekas tunangnya kerana memutuskan pertunangan mereka, sebulan sebelum tarikh bernikah pada 17 Januari ini.

Encik Muhammad Salleh Muhamad Yusuf, 46 tahun, pereka grafik di Switzerland, memfailkan saman terhadap bekas tunangnya, Cik Noor Diana Ahmad Zubir, 28 tahun, seorang pekerja swasta, selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada bapa bekas tunangnya pada 4 Disember memaklumkan pertunangan diputuskan.

Peguam plaintif, Encik Ahmad Nazib Johari, berkata saman diserahkan kepada defendan pada 20 Disember lalu. Kelmarin adalah sebutan bagi jawapan tetapi pihaknya belum menerima dokumen jawapan.

Cik Noor Diana memberitahu mahkamah, beliau menerima saman itu tetapi tidak bersetuju dengan syaratnya.

'Saya mohon melantik peguam dan mahu kes dibicarakan dalam masa sebulan jika boleh. Saya dalam proses melantik peguam,' katanya.

Hakim Syarie, Encik Kamaruzaman Ali, menetapkan perbicaraan pada 16 Februari ini.

Sementara itu, Encik Ahmad Nazib berkata anak guamnya bertunang dengan Cik Noor Diana pada 4 Februari 2008. Jumlah tuntutan didasarkan pada sebahagian persiapan perkahwinannya yang telah dibuat.

'Mereka bertunang atas dasar suka sama suka. Dia tidak tahu punca pertunangan diputuskan. Tiba-tiba bapa Noor Diana hantar SMS meminta pertunangan diputuskan,' katanya. -- BHM, Harian Metro.

No comments:

Posting Terkini