Kerjasama cegah penyeludupan
JAKARTA: Indonesia dan Australia akur untuk meningkatkan operasi bersama mencegah penyeludupan pendatang haram, kata Presiden Indonesia, Dr Susilo Bambang Yudhoyono, dan Perdana Menteri Australia, Encik Kevin Rudd, selepas rundingan di Bali semalam.
Dr Yudhoyono berkata Indonesia sedia mengekstradisi dalang penyeludupan yang ditahan Jun lalu, Hadi Ahmadi, ke Australia untuk menghadapi dakwaan menyeludup pendatang haram ke negara itu. -- AFP.
Siap sedia undur tentera dari Iraq
LONDON: Kerajaan Britain sedang bersiap-siap untuk mengundurkan kesemua 4,000 askarnya dari Iraq menjelang Jun tahun depan, lapor akhbar The Guardian semalam.
Britain akan memulakan pengunduran pada Mac, dan askar terakhir bakal meninggalkan Basra di selatan Iraq menjelang Jun depan.
Sekitar 300 hingga 400 askar akan tinggal untuk melatih tentera Iraq, tetapi peralatan seperti helikopter akan dipindahkan ke Afghanistan. -- AFP.
Terima surat berserbuk putih
WASHINGTON: Gabenor Alaska, Cik Sarah Palin, dan tujuh gabenor lain di Amerika Syarikat menerima surat berisi serbuk putih yang mencurigakan, menurut Biro Siasatan Federal (FBI).
Sejak Isnin, 'lapan surat berisi serbuk putih diterima pejabat gabenor di seluruh negara,' kata Encik Robert Casey, ejen FBI di Dallas, kelmarin.
Serbuk itu didapati tidak berbahaya. -- AFP.
Israel bina radar kesan roket
BAITULMAKDIS: Tentera Israel kini sedang membina sistem radar baru yang boleh mengesan pelancar roket kumpulan militan Palestin, agar ia dapat dimusnahkan segera, lapor akhbar Jerusalem Post semalam.
Radar baru dapat memberi gambaran medan perang sehingga 360 darjah untuk mengesan pelancar roket dan memberi maklumat secara digital kepada pasukan meriam untuk membedilnya. -- Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment