WASHINGTON: Bakal presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, kelmarin menafikan beliau ada kaitan dengan kes Gabenor Illinois, Encik Rod Blagojevich, yang ditahan atas dakwaan cuba menjual kerusi Dewan Senat yang dikosongkan Encik Obama.
'Saya tidak berhubung dengan Gabenor (Blagojevich) atau pejabatnya. Saya juga tidak tahu apa yang sedang berlaku,' jelasnya.
Encik Blagojevich, 51 tahun, dikejutkan daripada tidur dan ditahan selepas para pendakwa berkata beliau telah dirakamkan ketika hendak menjual kerusi Senat yang dikosongkan Encik Obama bagi wang tunai atau jawatan penting dalam pentadbiran baru Amerika Syarikat.
'Saya mempunyai peluang keemasan. Saya tak akan melepaskannya begitu saja. Saya akan melakukannya,' kata Encik Blagojevich, mengenai bidang kuasanya untuk melantik seorang pengganti Encik Obama.
Para pendakwa tidak menuduh Encik Obama terlibat dalam sebarang salah laku atau mengetahui mengenai perkara itu.
Ejen Biro Siasatan Federal (FBI) menahan Encik Blagojevich subuh kelmarin di rumahnya di Chicago dan membawanya pergi ketika keluarganya masih tidur.
Mereka berkata rakaman telefon itu meyakinkan mereka bahawa 'jenayah rasuah politik' Encik Blagojevich harus dihentikan sebelum terlambat.
'Kerusi Senat, beberapa hari dahulu, nampaknya hampir-hampir hendak dilelong,' kata Peguam Federal, Encik Patrick Fitzgerald.
Menurut dokumen mahkamah, Encik Blagojevich hendak menjual kerusi Senat itu bagi mendapatkan wang tunai atau jawatan lumayan untuk dirinya atau isterinya, Patti, seorang ejen hartanah.
Beliau malah bercita-cita mahu menjadi setiausaha kesihatan atau seorang duta dalam pentadbiran Obama, dengan pendapatan sekitar AS$250,000 ($375,200) hingga AS$300,000 setahun.
Kes itu segera dikritik para pemimpin Parti Republikan.
'Rakyat Amerika menjangka pucuk pimpinan yang tegas, tetapi kenyataan bakal presiden Barack Obama mengenai perkara ini ternyata tidak memadai,' kata Encik Robert M. 'Mike' Duncan, pengerusi Jawatankuasa Nasional Parti Republikan. -- AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment