Singapura- USAHA membangunkan Singapura sebagai hab media yang mampu menghasilkan filem animasi dan kesan khas maju setapak lagi dengan pelancaran hab media seluas 19 hektar, bersamaan 24 padang bola sepak, di one-north.
Apabila siap sepenuhnya pada 2020, hab yang dikenali sebagai Mediapolis itu akan mempunyai firma media, syarikat penerbitan, hotel, apartmen dan pusat penerbitan filem berteknologi tinggi terbesar di Singapura.
Rancangan membangunkan Mediapolis @ one-north akan memperhebat prasarana media di Singapura. Ia akan juga menjadi platform penting bagi mencipta dan menghasilkan pelbagai kandungan media yang dihasil, diterbit, dipasar bagi pengguna di seluruh dunia,' kata Menteri Penerangan, Perhubungan dan Kesenian, Dr Lee Boon Yang, semalam.
Industri media sekarang menyumbang AS$3.6 bilion ($5.4 bilion), iaitu 4.5 peratus, kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Singapura dan menggajikan lebih 54,000 pekerja. Pembangunan Mediapolis dijangka menghasilkan 10,000 pekerjaan menjelang 2015.
Singapura juga menikmati sekitar $1 bilion pelaburan oleh firma asing dalam bidang penerbitan filem dan animasi serta penerbitan bersama yang dijalankan di sini bagi rancangan seperti Contender Asia dan The Contender 4.
Dr Lee berkata dengan bertambahnya jumlah penonton generasi muda dan golongan pertengahan, Asia akan terus menarik pelabur dalam bidang media.
Bagi pelancaran fasa pertama Mediapolis, sebuah firma media setempat, Infinite Frameworks (IFW), telah bersetuju membangunkan sebuah studio menelan belanja sekitar $100 juta di atas tapak seluas 1.2 hektar.
Studio itu akan dilengkapi dengan teknologi skrin hijau terkini yang antara lain boleh menghasilkan pelbagai senario bagi penggambaran iklan, dokumentari serta filem dan bakal menjadi prasarana utama Mediapolis yang dapat digunakan syarikat media yang berpangkalan di situ.
Pengarah Urusan IFW, Encik Mike Wiluan, berkata studio itu akan dilengkapi dengan tiga kemudahan penggambaran, dan melebihi saiz, studio itu akan dilengkapi dengan teknologi media terkini bagi memenuhi permintaan syarikatsyarikat penerbitan Hollywood yang ingin membuat penggambaran di sini.
Setiausaha Tetap Kementerian Penerangan, Perhubungan dan Kesenian (Mica), Encik Chan Yeng Kit, berkata kesuraman ekonomi kini memberi peluang terbaik bagi pelancaran fasa pertama Mediapolis.
'Dengan keadaan ekonomi muram, kos pembinaan turut merosot dan ini memberi kita penjimatan dalam membangunkan Mediapolis ini. Lantas, apabila ekonomi mula pulih nanti, Mediapolis dapat meraih penuh manfaatnya,' ujarnya. --BHS
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment