Pages

Sunday, December 14, 2008

Perhimpunan agung IPF berlangsung dengan kekecohan

KUALA LUMPUR Perhimpunan Agung Parti Progresif India (IPF), yang diadakan buat pertama kali tanpa pengasasnnya mendiang Tan Sri M.G. Pandithan, bermula di sebalik kekecohan pagi ini.

Kekecohan bermula sejak pukul 8 pagi di Hotel Dynasty di sini, ekoran rasa tidak puas hati pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli parti itu yang dipecat.

Mereka mendakwa Pemangku Presiden, Puan Sri Jayashree Pandithan tidak layak memegang jawatan tersebut.

Kumpulan kira-kira 100 orang itu yang diketuai oleh Ketua Bahagian IPF Kelana Jaya, P. Murugam menggesa beliau melepaskan jawatan dan tidak mengetuai ahli-ahli IPF lagi.

Kira-kira 20 anggota polis mengawal perjalanan perhimpunan itu.

Jayashree memangku jawatan itu sejak kematian Pandithan.

Sebulan lalu, beliau mengumumkan keputusan menggantung Timbalan Presiden dan Naib Presiden masing-masing V. Senggutuan dan M. Mathyalagan yang atas alasan disiplin.

Ketua Pemuda IPF, R. Ravi Shankar diminta melepaskan jawatan kerana telah diisytiharkan muflis.

Perhimpunan itu dirasmikan oleh Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada pukul 11 pagi.

Sementara itu, Jayashree menyifatkan kekecohan yang berlaku adalah sebagai masalah dalaman parti semata-mata.

“Saya tidak lihat kekecohan yang berlaku sebagai satu masalah besar kepada parti. Ia tidak akan menggugat keharmonian parti ini. Kita akan terus maju kehadapan,” katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Perhimpunan Agung parti itu di sini hari ini.

Jelas beliau, kekecohan tersebut juga ditimbulkan oleh sebahagian kecil ahli-ahli yang tidak berpuashati dengan kepimpinannya.

“Mereka tidak puas hati selepas saya mengambil alih parti ini. Kita boleh berbincang dan bertolak ansur dalam hal ini,” ujarnya.

Beliau juga yakin, masalah tersebut akan dapat diseleksaikan secepat mungkin

Pada ketika ini IPF mempunyai kira-kira 300,000 ahli di seluruh negara. -- mSTAR

No comments:

Posting Terkini