Pages

Monday, December 29, 2008

Pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan

Pemilihan pengganti Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dibuat antara Putera Yang Empat iaitu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Tunku Muda Serting Tunku Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tuanku Panglima Besar Tunku Nazaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar.

SEREMBAN: Pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan akan diadakan pada jam 2.30 petang ini, demikian menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norzam Mohd Nor.

Pengganti Yang Dipertuan Besar yang baru masih belum diketahui sehingga lewat petang semalam memandangkan persidangan Undang Yang Empat masih belum memutuskan siapa antara Putera Yang Empat yang bakal menaiki takhta.

Persidangan berhubung perkara itu telah diadakan pada jam 5.30 petang semalam di kediaman rasmi Menteri Besar.

Pemilihan bakal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru berbeza dengan cara pemilihan pengganti raja dan sultan di negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu.

Pemilihan pengganti dibuat antara Putera Yang Empat iaitu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Tunku Muda Serting Tunku Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tuanku Panglima Besar Tunku Nazaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar.

"Dari keempat-empat mereka ini, seorang akan dipilih sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Besar Sembilan yang baru. Kaedah pemilihan ini dibuat oleh Undang Yang Empat," kata Tiang Kerajaan (Pakar Rujuk Adat Perpatih) kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Maharaja Khalid Bonget, 69.

Khalid berkata pemilihan bakal Yang Dipertuan Besar ini adalah mengikut adat yang diucap dan dipakai seperti kata adat "Yamtuan Mangkat, Yamtuan Menanam", begitu juga dengan "Undang Mangkat", Undang Menanam" yang bermaksud mengumumkan pengganti Yang Dipertuan Besar Negari Sembilan sebelum Almarhum disemadikan.

Cara pelantikan ini dipakai mengikut Adat Perpatih dari dahulu hingga selama-lamanya.

Beliau berkata, kemangkatan Almarhum Tuanku Ja'afar telah dimaklumkan kepada Undang yang Empat dan Tunku Besar Tampin oleh Datuk-Datuk Lembaga Yang Empat Luak Ulu Muar iaitu Datuk Paduka Besar, Datuk Seri Maharaja, Datuk Senara Muda dan Datuk Orang Kaya Bongsu.

"Kemudian Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin akan menziarahi jenazah Almarhum baginda, setelah itu mereka akan mengadakan rundingan secara tertutup bagi memilih bakal Yang Dipertuan Besar Negeri yang baru," katanya.

Istiadat pemakaman jenazah Almarhum baginda akan diadakan esok selepas solat asar. Tempoh berkabung berikutan kemangkatan baginda ialah selama 40 hari sejak semalam.

No comments:

Posting Terkini